WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau sepatutnya dibenarkan bertanding bagi penggal ketiga sebagai presiden selepas mendakwa Pilihan Raya 2020 dimanipulasi.
“Saya fikir saya mempunyai hak untuk bertanding semula kerana mereka menipu,” kata Trump pada satu perhimpunan di Negeri Iowa pada Khamis, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Beliau sekali lagi mendakwa memenangi pilihan raya sebanyak tiga kali, namun mengakui bahawa had penggal presiden yang ditetapkan oleh Perlembagaan tidak memberikan ruang untuk tafsiran yang berbeza.
Pilihan Raya Presiden AS yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada 2028.
Trump berkhidmat sebagai Presiden AS dari 2017 hingga 2021. Pada November 2024, beliau sekali lagi memenangi Pilihan Raya Presiden dan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2025, sekali gus menjadi Presiden ke-47 negara itu.
Menurut Pindaan Ke-22 Perlembagaan AS, seseorang individu tidak boleh dipilih sebagai presiden lebih daripada dua kali.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI