KUALA LUMPUR: Fenomena pemampatan upah menjadi kerisauan pasaran buruh susulan pengumuman kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta penetapan gaji pemula graduan dan pekerja separa mahir RM2,500 dalam Belanjawan 2027.
Pemampatan upah merujuk kepada jurang gaji semakin mengecil antara pekerja baharu dengan pekerja lama yang berpengalaman, sekali gus mencetuskan ketegangan di tempat kerja melibatkan isu motivasi, selain beban kewangan berganda kepada majikan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr. Adilah Abdul Ghapor menegaskan, usaha menaikkan gaji lantai tidak boleh mengabaikan kebajikan pekerja sedia ada yang telah lama menabur bakti kepada syarikat.
“Pekerja baharu memang gembira dapat pertambahan gaji, tetapi kita kena ambil kira juga pekerja yang dah lama dalam syarikat, contohnya yang dah berkhidmat 10 hingga 12 tahun tetapi kenaikan gaji mereka sebelum ini sangat kecil.
“Mereka ada kecenderungan untuk membandingkan diri dengan pekerja yang baru masuk. Jadi tangga gaji keseluruhan perlu diperhalusi agar kebajikan pekerja lama terbela dan isu pemampatan upah ini dapat dielakkan,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Kebimbangan itu turut disokong Setiausaha Agung UNI Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Mohd Effendy Abd Ghani, yang mendedahkan pihak kesatuan sekerja kini menerima banyak keluhan daripada kakitangan yang sudah lama berkhidmat.
“Kesatuan banyak terima aduan, ‘Kami pekerja lama macam mana? Kami menyumbang berbelas tahun, adakah pengalaman kami diiktiraf?’
“Kesan pemampatan upah ini mungkin tidak kelihatan di atas kertas, tetapi realitinya pekerja baharu masuk kerja terus dapat RM2,000, sedangkan pekerja lama yang sudah berkhidmat bertahun-tahun gajinya hampir sama.
"Majikan tidak boleh menyamaratakan semua lapisan pekerja,” tegas Effendy.
Bagi mengelakkan isu ini daripada terus berulang setiap kali gaji minimum dinaikkan, Effendy mencadangkan kerajaan memperkenalkan Dasar Kenaikan Gaji Tahunan Kebangsaan secara mandatori mengikut industri.
“Kita cadangkan mesti ada satu kenaikan gaji tahunan kebangsaan, contohnya minimum 3 peratus setahun. Ini penting untuk golongan yang sedang bekerja supaya struktur tangga gaji mereka terus bergerak dan tidak terkumpul di bawah,” tambahnya.