Skip to main content

Dunia

Maghribi patahkan cubaan migrasi haram beramai-ramai ke enklaf Sepanyol Ceuta

A member of the Spanish security forces stand guard as a migrant minor from Morocco walks in the water after crossing into Ceuta by sea, amid recent mass crossings of migrants on foot and by sea from Morocco into Spanish territory, in Ceuta, Spain, August 1, 2026. REUTERS/Violeta Santos Moura
Pihak berkuasa Maghribi menganggarkan kira-kira 40,000 orang cuba membuat penyeberangan itu. - Foto REUTERS
Advertisement

RABAT: Pihak berkuasa Maghribi  memaklumkan pada Sabtu  bahawa mereka telah mematahkan percubaan beramai-ramai oleh pendatang tanpa izin untuk menyeberang dari bandar utara Fnideq ke enklaf Sepanyol, Ceuta, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Daerah Fnideq memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali sebagai berkata, penempatan kawalan keselamatan yang ketat dan terkoordinasi di sekitar Ceuta dan Melilla telah berjaya menghalang percubaan menyeberang secara beramai-ramai oleh pendatang tanpa izin, sambil menambah bahawa situasi di lintasan sempadan kekal normal.

Kira-kira 300 pendatang tanpa izin, kebanyakannya dari negara-negara Afrika sub-Sahara, berkumpul pada Sabtu pagi di kawasan pergunungan berhampiran Ceuta, kata pegawai berkenaan.

Pasukan keselamatan menghalang mereka daripada mendekati atau memasuki bandar itu, dengan tiada sebarang konfrontasi ganas atau kerosakan harta benda dilaporkan, kata pegawai itu sambil menambah bahawa pihak berkuasa telah "mengerahkan sejumlah besar anggota dan peralatan logistik canggih bagi mengelakkan sebarang pencerobohan beramai-ramai, termasuk dron pemantau dan peralatan bergerak."

Maghribi telah memperketat kawalan keselamatannya di Fnideq sejak beberapa hari lepas, manakala operasi pemeriksaan dan tindakan keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh bandar berkenaan.

Percubaan itu berlaku pada tarikh yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Dalam Negeri Maghribi menerusi amaran berhubung seruan tanpa nama di media sosial yang menggesa pencerobohan beramai-ramai ke enklaf Sepanyol di Ceuta dan Melilla.

Pada 8 Ogos, Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan Maghribi memaklumkan angka korban akibat gelombang pencerobohan Ceuta meningkat kepada 14 orang, manakala angka pihak berkuasa Sepanyol mencatatkan jumlah kematian seramai 80 orang.

Pihak berkuasa Maghribi menganggarkan kira-kira 40,000 orang cuba membuat penyeberangan itu, manakala pihak berkuasa Sepanyol menyatakan jumlah berkenaan melebihi 70,000 orang.

Ceuta dan Melilla terletak di pantai utara Maghribi tetapi kekal di bawah pentadbiran Sepanyol. Maghribi menuntut kedaulatan ke atas kedua-dua enklaf berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

Must Watch Video

Advertisement