Skip to main content

Dunia

Mahkamah Afrika Selatan tangguh sementara prosiding pendakwaan terhadap Ramaphosa

51738814688_TBCyrilRamaphosa.jpg
Ramaphosa memfailkan permohonan segera pada 12 Jun bagi menggantung tugas jawatankuasa pendakwaan sementara beliau mencabar dapatan laporan panel bebas mengenai kes Phala Phala. - Gambar fail
Advertisement

CAPE TOWN: Mahkamah Tinggi Afrika Selatan pada Jumaat memutuskan memihak kepada Presiden Cyril Ramaphosa dalam permohonannya untuk menghentikan sementara prosiding pendakwaan terhadap beliau berhubung kes Phala Phala, lapor Xinhua.

Dalam keputusan majoriti, Mahkamah Tinggi Western Cape mengeluarkan perintah injunksi sementara yang menghalang jawatankuasa pendakwaan Parlimen daripada meneruskan prosiding sehingga cabaran Ramaphosa terhadap laporan panel bebas diputuskan.

Ramaphosa memfailkan permohonan segera pada 12 Jun bagi menggantung tugas jawatankuasa pendakwaan sementara beliau mencabar dapatan laporan panel bebas mengenai kes Phala Phala. 

Dalam dokumen mahkamah, beliau berhujah bahawa prosiding itu perlu ditangguhkan sementara menunggu semakan kehakiman terhadap laporan berkenaan.

Pada 26 Mei, Presiden itu turut memfailkan cabaran berasingan dengan memohon Mahkamah Tinggi Western Cape menyemak dan membatalkan dapatan panel terbabit.

Keputusan pada Jumaat tidak menentukan merit permohonan semakan Ramaphosa, yang akan didengar secara berasingan dari 2 hingga 4 Sept.

Kes Phala Phala tercetus susulan dakwaan kecurian wang tunai kira-kira US$580,000 dari ladang ternakan hidupan liar milik persendirian Ramaphosa di Wilayah Limpopo pada 2020, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada wang berkenaan diisytiharkan kepada pihak berkuasa.

Panel bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Sandile Ngcobo dalam laporannya pada 2022 menyatakan terdapat bukti prima facie bahawa Ramaphosa mungkin melakukan salah laku serius berkaitan kes itu. Bagaimanapun, Perhimpunan Kebangsaan kemudiannya mengundi untuk tidak menerima pakai laporan itu dan tidak meneruskan prosiding pendakwaan.

Proses pendakwaan itu dihidupkan semula selepas Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan pada Mei memutuskan bahawa Parlimen bertindak menyalahi undang-undang apabila mengundi untuk tidak menerima pakai laporan panel berkenaan pada 2022.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement