HANGZHOU: Sebuah mahkamah di China memutuskan bahawa majikan tidak dibenar memberhentikan pekerja semata‑mata kerana mahu menggantikan mereka dengan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi menjimatkan kos operasi.
Keputusan berpihak kepada pekerja itu diputuskan oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Hangzhou pada penghujung April, dan dilihat sebagai mesej jelas bahawa hak buruh kekal dilindungi walaupun dalam era automasi dan transformasi digital, lapor Amanz.
Advertisement
Mahkamah mendapati sebuah syarikat teknologi telah bertindak secara tidak sah apabila memberhentikan seorang pekerja kanan selepas beliau menolak penurunan pangkat dan potongan gaji besar susulan tugas asalnya diambil alih oleh AI.
Menurut penghakiman itu, penggunaan AI merupakan pilihan pengurusan perniagaan, dan tidak boleh dianggap sebagai “perubahan objektif besar” yang membolehkan kontrak pekerjaan ditamatkan mengikut undang‑undang buruh China.
Dalam kes tersebut, pekerja bernama Zhou yang bertugas sebagai penyelia jaminan kualiti bergaji 25,000 yuan (kira-kira RM16,400) sebulan, telah ditawarkan jawatan lain dengan pengurangan gaji sebanyak 40 peratus kepada 15,000 yuan (kira-kira RM9,800) selepas peranannya diautomasikan.
Apabila beliau menolak tawaran berkenaan, syarikat bertindak menamatkan perkhidmatannya atas alasan penstrukturan semula.
Namun, mahkamah memutuskan majikan gagal memenuhi kewajipan rundingan yang munasabah, termasuk menyediakan penempatan alternatif yang setimpal atau latihan semula, sekali gus memerintahkan pampasan dibayar kepada pekerja tersebut.
Keputusan itu turut menegaskan bahawa kos transformasi teknologi tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pekerja, dan majikan bertanggungjawab mencari penyelesaian yang adil melalui rundingan, latihan semula atau penugasan semula sebelum mempertimbangkan langkah pemberhentian.