INTERNATIONAL
Mahkamah Jerman larang Lufthansa guna kenyataan "mengelirukan" pampasan CO2

Syarikat penerbangan berkenaan tidak lagi dibenarkan menggunakan dua frasa tertentu dalam pemasarannya. - Gambar/ AP
COLOGNE: Syarikat penerbangan nasional Jerman, Lufthansa, dilarang menggunakan dua kenyataan "mengelirukan" mengenai pampasan pelepasan karbon dioksida (CO2), lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Keputusan Mahkamah Wilayah Cologne pada Isnin itu bermakna syarikat penerbangan berkenaan tidak lagi dibenarkan menggunakan dua frasa tertentu dalam pemasarannya, yang menurut pengkritik memberi gambaran bahawa perjalanan udara boleh menjadi neutral iklim.
Saman itu difailkan oleh kumpulan kempen Environmental Action Germany (DUH), yang menyifatkan keputusan itu sebagai "kemenangan penting terhadap iklan mengelirukan."
"Mahkamah mengesahkan kritikan kami dan menangani bagaimana satu daripada syarikat penerbangan terbesar dunia secara sistematik memperdaya pelanggan dan berpura-pura menawarkan penerbangan neutral iklim sebagai pertukaran untuk bayaran tambahan," kata pengarah urusan DUH, Jurgen Resch."Perjalanan udara adalah antara penyumbang terbesar kepada kesan iklim. Menjual kelegaan hati nurani sebagai pertukaran untuk bayaran pampasan adalah sesuatu yang sangat tidak wajar," tambah Resch.
Jurucakap Lufthansa berkata syarikat yang berpangkalan di Frankfurt itu mengambil maklum keputusan mahkamah dan akan menelitinya.
"Lufthansa secara berterusan melaksanakan projek dan langkah untuk mengurangkan kesan alam sekitar akibat penerbangan serta memastikan penggunaan sumber yang diperlukan dengan secekap mungkin," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami