LONDON: Pembinaan bangunan baharu Kedutaan Super China di London boleh diteruskan selepas cabaran undang-undang di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan memberikan kebenaran merancang telah ditolak, lapor PA Media/dpa.
Persatuan Penduduk Royal Mint Court (RMCRA) mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Perbandaran London Tower Hamlets.
RMCRA mendakwa kehadiran kedutaan itu, yang lokasinya dikhaskan berhampiran Menara London, boleh mendedahkan kawasan berkenaan kepada serangan pengganas atau penindasan terhadap protes, selain digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang drakonian China di UK serta menyasarkan pembangkang.
Persatuan itu, yang mewakili keluarga dan perniagaan di kira-kira 100 hartanah, turut bimbang Kerajaan China akan mewujudkan risiko kebakaran dengan mengabaikan kewajipan keselamatan, yang didakwa tidak boleh dikuatkuasakan disebabkan kekebalan diplomatik.
Kerajaan British dan majlis perbandaran berkenaan mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan mereka telah "meneliti dan mempertimbangkan secara teliti" kebimbangan penduduk.
Susulan pendengaran di Mahkamah Tinggi awal bulan ini, dua hakim menolak cabaran undang-undang oleh RMCRA.
Hakim Puan Lieven, yang bersidang bersama Hakim Lord Dingemans, dalam penghakiman pada Jumaat berkata "tidak syak lagi" bahawa kerajaan telah mengambil kira fakta bahawa Kerajaan China merupakan pihak yang memohon kebenaran merancang berkenaan.
Beliau juga berkata RMCRA tidak teraniaya walaupun tidak menerima salinan "penilaian letupan" semasa keputusan merancang dibuat, yang memperincikan kesan kemungkinan timbulnya letupan pengganas.
Hakim itu berkata: "Tiada ketidakadilan terhadap pemohon disebabkan dokumen-dokumen berkenaan tidak didedahkan."
--BERNAMA-PA MEDIA/dpa