Mahkamah Korea Selatan jatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap ketua sindiket jenayah seks Telegram

Selain hukuman penjara, maklumat peribadi Kim disiarkan dalam rangkaian digital selama 10 tahun, sekatan pekerjaan selama 10 tahun dan pemakaian peranti elektronik selama 30 tahun. - Gambar hiasan
SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap ketua sindiket jenayah seks melalui Telegram kerana mengeksploitasi secara seksual 261 individu, termasuk kanak-kanak bawah umur, selama hampir lima tahun, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kim Nok-wan, 33, didakwa mengendalikan dan bekerja untuk sindiket jenayah yang dikenali sebagai "The Vigilantes", menghasilkan dan mengedar video eksploitasi seksual, memaksa penggunaan video yang dihasilkan secara haram serta melakukan kuasi rogol.
Selain hukuman penjara, Mahkamah Daerah Pusat Seoul turut mengarahkan maklumat peribadi Kim disiarkan dalam rangkaian digital selama 10 tahun, sekatan pekerjaan selama 10 tahun dan pemakaian peranti elektronik selama 30 tahun.
Kim menjalankan sindiket berkenaan dari Mei 2020 hingga Januari 2025 dan menyerang secara seksual kanak-kanak serta remaja sambil memperkenalkan dirinya sebagai seorang pastor.
Ahli The Vigilantes turut memeras ugut lelaki dan wanita agar menghantar foto bogel mereka dan menggunakan gambar itu untuk menghasilkan serta mengedar video eksploitasi seksual.
Jumlah mangsa adalah lebih tiga kali ganda berbanding kes Baksabang yang terkenal pada 2019-2020 membabitkan pesalah dikenali Cho Joo-bin yang memeras ugut 73 individu untuk menghasilkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan remaja yang dijualnya secara dalam talian melalui bilik sembang Telegram yang disulitkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


