ISTANBUL: Mahkamah Jenayah Keempat di ibu negara Syria, Damsyik, menjatuhkan pada Isnin hukuman penjara seumur hidup terhadap Ahmed Hassoun, Mufti Besar rejim yang digulingkan, selepas beliau disabitkan bersalah atas pertuduhan "menghasut perang saudara dan konflik mazhab", lapor Anadolu Ajansi.
Ketua Mahkamah, Hakim Fakhr al-Din al-Aryan berkata, siasatan membuktikan penglibatan Hassoun dalam "jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang", selain memaklumkan bahawa mahkamah turut mengarahkan semua aset miliknya dirampas untuk diserahkan kepada perbendaharaan awam.
Pada Mac 2025, pihak berkuasa Syria menahan Hassoun ketika beliau cuba meninggalkan negara itu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.
Selepas rejim Assad digulingkan pada Disember 2024, pentadbiran peralihan yang diketuai Presiden Ahmad al-Sharaa mengambil alih pemerintahan Syria pada Januari 2025.
Pihak berkuasa baharu itu menubuhkan mekanisme akauntabiliti dan keadilan peralihan bagi menyiasat jenayah yang dilakukan di bawah kerajaan terdahulu.
-- BERNAMA-ANADOLU