NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenai akauntabiliti terhadap jenayah yang dilakukan ke atas pasukan pengaman PBB, secara sebulat suara pada Selasa lapor Xinhua.
Menurut badan dunia itu, sejak 1948, seramai 1,095 anggota pengaman PBB terkorban akibat tindakan berniat jahat, termasuk 359 orang sejak 2013, manakala beberapa ribu lagi mengalami kecederaan.
Resolusi 2823 menegaskan bahawa akauntabiliti terhadap serangan ke atas pasukan pengaman PBB penting bagi menghalang serangan pada masa hadapan, selain melindungi keberkesanan operasi keamanan PBB serta keselamatan anggota-anggotanya.
Ketetapan itu turut menggesa semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama dengan PBB bagi memudahkan proses mengenal pasti, menyiasat dan mendakwa pelaku tanpa bertangguh-tangguh.
Resolusi berkenaan turut mengingatkan tanggungjawab negara tuan rumah untuk bekerjasama dengan operasi menjaga keamanan bagi meningkatkan keselamatan anggota pengaman PBB, selain mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menyiasat jenayah terhadap anggota pengaman dan mendakwa pelaku terbabit.
Selain itu, resolusi berkenaan meminta Setiausaha Agung PBB memastikan bahawa sekiranya berlaku sebarang serangan pada masa hadapan terhadap pasukan pengaman dan premis mereka, pihak mereka mesti "segera menyediakan rekod fakta yang jelas mengenai insiden itu dan menyerahkannya kepada negara tuan rumah untuk siasatan lanjut."
Ia juga menyeru semua negara dan pihak berkaitan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi membawa pelaku ke muka pengadilan. Setiausaha Agung turut diminta memastikan negara-negara penyumbang pasukan tentera dan polis yang berkaitan sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan siasatan serta usaha menguatkuasakan akauntabiliti terhadap pihak pelaku.
Resolusi itu juga meminta Setiausaha Agung melantik seorang pegawai kanan utama dalam kalangan kakitangan sedia ada untuk mengendalikan isu akauntabiliti bagi jenayah terhadap pasukan pengaman PBB.
Laporan tahunan mengenai status siasatan dan pendakwaan kes berkaitan jenayah terhadap pasukan pengaman PBB perlu dikemukakan kepada Majlis Keselamatan, dengan laporan pertama mesti diserahkan dalam tempoh 120 hari selepas resolusi itu diluluskan.
-- BERNAMA-XINHUA