Skip to main content

Dunia

Majlis Keselamatan PBB bimbang pengerahan bala bantuan RSF di sekitar El Obeid, Sudan

51687944982_RSFforces.jpg
Majlis Keselamatan PBB menuntut RSF supaya segera menghentikan serangan mereka ke atas El Obeid. - Gambar fail
Advertisement

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu menyuarakan kebimbangan terhadap laporan mengenai pengerahan bala bantuan oleh Rapid Support Forces (RSF) di sekitar El Obeid, Sudan, yang mungkin menandakan persediaan untuk melancarkan serangan darat ke atas bandar itu, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan media, anggota Majlis Keselamatan menyatakan kebimbangan terhadap risiko berlakunya kekejaman besar-besaran dalam masa terdekat dan menuntut RSF supaya segera menghentikan serangan mereka ke atas El Obeid.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan berterusan di seluruh Sudan, termasuk laporan mengenai peningkatan keganasan di negeri Kordofan yang berisiko memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sedia meruncing. 

Mereka menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya segera menghentikan pertempuran.

Anggota majlis itu menegaskan semula bahawa semua pihak mesti melindungi orang awam, membenarkan serta memudahcara akses bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan, selain memastikan orang awam dapat bergerak melalui laluan yang selamat.

Mereka turut menggesa semua negara anggota PBB supaya tidak melakukan campur tangan luar yang boleh mencetuskan konflik dan ketidakstabilan, sebaliknya menyokong usaha ke arah keamanan yang berkekalan, mematuhi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa serta melaksanakan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan.

Anggota majlis itu turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi mereka terhadap kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan keutuhan wilayah Sudan. 

Mereka juga mengulangi pendirian menolak penubuhan pihak berkuasa pentadbiran sendiri di kawasan yang dikuasai RSF.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement