Rusia dan 5 negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB lain perlu menggunakan mandat yang ada untuk menamatkan konflik di Syria.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata kegagalan memberi tekanan kepada pentadbiran Bashar Al Assad telah menyumbang kepada percambahan kawasan yang dikuasai kumpulan militan daish.

"Kesemua negara anggota majlis keselamatan terbabit perlu menggunakan sepenuhnya kuasa dan tanggungjawab khas mereka untuk memberi tekanan kepada pihak bertelegah termasuk pentadbiran Bashar Al Assad.

"Perang saudara ini telah lama berlarutan, dan ia dijadikan sebagai peluang oleh kumpulan pemberontak khsususnya militan daish untuk menjajah kawasan yang tidak ditadbir pihak berkuasa sebenar." jelasnya.

Bishop menambah bahawa kerajaan Australia telah mengenakan sekatan terhadap 184 individu dan entiti yang dipercayai bertanggungjawab atas penggunaan senjata kimia yang didakwa digunakan Syria baru-baru ini.

"Pengeboman di Ghouta telah menyaksikan kemusnahan yang dahsyat kaibat penggunaan senjata kimia dan Australia mengutuk sekeras-kearsnya tindakan itu.

"Kami telah mengenakan sekatan ke atas 184 individu dan entiti yang kami percaya telah terlibat dalam beberapa jenayah ini dan kami juga menyokong mekanisme penyusunan dan penyiasatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk menyiasat dan diharapkan dapat mengadili kejahatan-kejahatan terhadap kemanusiaan ini." jelasnya.

Pada Isnin, Australia melalui tempatnya di dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu, bergabung dengan anggota majlis yang lain mengutuk kekejaman yang berlaku di Ghouta.

Setakat 26 Februari jumlah kematian akibat serangan dan penggunaan senjata kimia di Ghouta, Syria telah meningkat kepada 700 orang.

185 daripadanya adalah kanak-kanak manakala 109 adalah wanita.