DUNIA
Malaysia: AIPA pacu agenda keamanan dan pembangunan ASEAN

Dr Ramli berkata, badan itu akan kekal sebagai sebahagian penting daripada perkumpulan 10 negara anggota yang menetapkan agenda serantau untuk perdagangan, keselamatan dan pembinaan komuniti. - Gambar Facebook Ramli Mohd Nor
PHNOM PENH: Malaysia menyatakan bahawa Kokus Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) akan memainkan peranan penting dalam memacu keamanan dan kestabilan serantau dengan Ahli Parlimen menjadi peneraju usaha berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang menghadiri Sidang Ke-16 Kokus AIPA di sini berkata, badan itu akan kekal sebagai sebahagian penting daripada perkumpulan 10 negara anggota yang menetapkan agenda serantau untuk perdagangan, keselamatan dan pembinaan komuniti.
"Dalam rangka kerja ASEAN, AIPA akan kekal sebagai mekanisme penting kerana setiap Parlimen negara akan menentukan undang-undang, dasar dan hala tuju yang akan memberi kesan kepada ASEAN.
"Kokus ini merangkumi perbincangan, kaedah dan resolusi yang boleh diterima oleh seluruh komuniti ASEAN."Kita mengiktiraf bahawa dialog amat penting bagi mengelakkan konflik dengan negara jiran, sama ada di dalam ASEAN mahupun di luar ASEAN," katanya kepada Bernama di luar mesyuarat yang berakhir pada Rabu.
Badan parlimen serantau yang ditubuhkan pada 1977 itu mengadakan mesyuarat kali ini dengan tema "Keamanan Melalui Dialog: Langkah Parlimen ke Hadapan" .
Pemimpin AIPA daripada blok serantau itu menghadiri kokus yang bermula Isnin di ibu negara Kemboja, kecuali Myanmar dan Timor-Leste (yang dijangka diterima sebagai anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini).
"Malaysia terus menunjukkan komitmen politik yang kukuh dalam memperkasa kesalinghubungan ASEAN serta keamanan serantau, selaras dengan peranan aktif yang dimainkan di peringkat global.
"Parlimen Malaysia turut menyokong sepenuhnya kerjasama antara Parlimen dalam menangani cabaran semasa menerusi tadbir urus demokratik dan mekanisme politik-keselamatan ASEAN," katanya.
Perbincangan tertumpu kepada beberapa bidang utama -- memperkukuh tindakan parlimen ke arah keamanan inklusif, menangani risiko dan cabaran semasa melalui kerjasama antara Parlimen, serta memperkasa sumbangan Parlimen terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta global.
"Satu perkara penting dalam mesyuarat ini ialah kita mengiktiraf sumbangan wanita dalam ASEAN, dalam apa jua isu sama ada politik, jawatan kerajaan mahupun jawatan eksekutif.
"Kita mahu kadar penglibatan wanita dalam semua aspek berada pada paras antara 30 hingga 40 peratus.
"Malaysia terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesaksamaan gender dan penghapusan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak," kata Ramli.
Anggota kokus turut meluluskan Laporan Kokus AIPA ke-16 yang akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung, iaitu badan tertinggi AIPA.
Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada September.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 manakala Kokus AIPA ke-17 akan diadakan di Indonesia tahun depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami