ASTANA: Malaysia dan negara-negara Asia Tengah bakal memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah yang julung-julung kali diadakan di sini.
Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi kenyataan memaklumkan pertemuan menteri-menteri pendidikan tinggi menerusi mesyuarat itu pada 26 Sept membuka ruang untuk membina kerjasama lebih tersusun antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia dengan negara-negara rantau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan menghadiri mesyuarat berkenaan bersempena dengan lawatan tiga hari ke Astana di Kazakhstan bermula hari ini.
“Asia Tengah mempunyai tradisi keilmuan yang besar, dan potensi baharu sektor pendidikan di rantau berkenaan wajar diterokai bersama. Pertemuan itu ialah langkah awal untuk menghubungkan kekuatan universiti, penyelidik dan generasi muda Malaysia dengan rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.
Bersempena dengan lawatan itu, Zambry juga dijadual menyertai Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah 2026, yang menghimpunkan pemimpin dan wakil IPT bagi membincangkan antaranya mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama penyelidikan, serta hubungan antara universiti yang boleh memberikan manfaat bersama.
Zambry juga dijadual menerima penganugerahan gelaran Profesor Kehormat daripada Universiti Nasional Eurasia L.N. Gumilyov selain menyampaikan syarahan umum di universiti berkenaan.
Menurut KPT, berdasarkan rekod hingga Jun lepas, kira-kira 3,726 pelajar dari lima negara Asia Tengah, iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan sedang melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta di Malaysia.
Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kementerian untuk memperluas jaringan antarabangsa pendidikan tinggi serta membina kerjasama jangka panjang dengan negara-negara Asia Tengah.
-- BERNAMA