Skip to main content

Dunia

Malaysia kecam pencabulan Al-Aqsa, perluasan penempatan haram Israel

Jewish worshippers visit Al-Aqsa compound, known to Jews as the Temple Mount, in Jerusalem's Old City, July 15, 2026. The Dome of the Rock can be seen in the background. REUTERS/Naama Stern TPX IMAGES OF THE DAY
Malaysia mengecam pencabulan berterusan di Masjid Al-Aqsa serta perluasan penempatan haram Israel pada mesyuarat peringkat menteri bagi membincangkan perkembangan di Baitulmuqaddis yang diduduki, yang berlangsung di Jordan pada Rabu. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam pencabulan berterusan di Masjid Al-Aqsa serta perluasan penempatan haram Israel pada mesyuarat peringkat menteri bagi membincangkan perkembangan di Baitulmuqaddis yang diduduki, yang berlangsung di Jordan pada Rabu.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa Malaysia turut menegaskan semula bahawa Baitulmuqaddis merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk mengubah status perundangan, sejarah, demografi dan agama bandar itu.

"Malaysia juga menegaskan sokongan terhadap Hashemite Custodianship ke atas tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, serta mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut hantaran Kementerian Luar di Facebook pada Khamis.

Malaysia diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, pada Mesyuarat Peringkat Menteri Bagi Menyokong Baitulmuqaddis dan Tempat Sucinya.

Mesyuarat itu menghimpunkan negara Arab dan Islam bagi menyelaras pendirian bersama sebagai respons terhadap situasi yang semakin meruncing di Baitulmuqaddis, dengan matlamat untuk memelihara status perundangan dan sejarah bandar itu, melindungi tempat suci Islam dan Kristian, serta memperkukuh usaha antarabangsa ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan berasaskan penyelesaian dua negara. 

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, para peserta antara lain bersetuju untuk melancarkan mekanisme yang mampan, berinstitusi dan bersifat operasi, termasuk platform media, bagi mendokumentasikan serta mendedahkan pencabulan Israel terhadap tempat suci dan para jemaah, selain kesan buruk yang ditimbulkannya.

Mereka turut bersetuju untuk melaksanakan tindakan bersama bagi menggerakkan respons antarabangsa yang berkesan untuk menghentikan amalan, langkah dan dasar Israel yang bersifat provokatif dan tidak sah, serta mendesak Israel sebagai kuasa pendudukan supaya menghormati status quo bersejarah dan perundangan di Baitulmuqaddis serta tempat sucinya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement