PUTRAJAYA: Malaysia perlu mempunyai pendekatan untuk dilihat sebagai sebuah negara berkuasa tengah atau 'middle power', dengan mempunyai polisi-polisi yang pragmatis dalam mendepani kesan geopolitik dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia bukan sebuah negara kuasa besar tetapi tidak boleh dilihat sebagai kuasa kecil yang tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi negara lain.

"Jadi di sinilah peranan penting untuk Malaysia laksanakan dalam melihat persekitaran (geopolitik).

"Tetapi dalam masa yang sama, dasar-dasar berkecuali Malaysia sangat mustahak supaya kita tidak dilihat sebagai sebuah negara yang terlalu ke kanan atau ke kiri atau menyokong mana-mana negara kuasa besar, yang akan memberi impak yang tidak seimbang kepada Malaysia.

"Sebab itu Malaysia mengambil pendekatan untuk memastikan supaya setiap dasar yang kita ambil adalah dasar yang berkecuali dan dalam masa yang sama memberi kesan positif kepada persekitaran geopolitik di kawasan kita dan termasuk juga di kawasan Asia Pasifik dan Indo Pasifik," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negara (CCFP) Bilangan 2 di sini, yang turut disertai pakar akademik dan wakil-wakil kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

Jelas Zambry, Malaysia berada di kedudukan paling strategik dan penting termasuk di Laut China Selatan dan Selat Melaka, ketika mana ramai pihak bercakap mengenai persaingan antara kuasa-kuasa besar.

Mengulas lanjut, beliau berkata CCFP hari ini turut membincangkan mengenai kedudukan ekonomi dunia dan perkembangan lain yang berlaku di peringkat global.

Zambry menambah, pakar-pakar telah mengemukakan beberapa cadangan sebagai usaha untuk mengangkat Malaysia di peringkat antarabangsa, selain kedudukan negara dalam persekitaran politik dunia.

"Antara cabaran besar ialah kita melihat tentang kedudukan ekonomi dunia, projeksi tentang ekonomi dunia pada masa kini dan juga di masa akan datang dalam tempoh terdekat ini.

"Dari segi kedudukan pertembungan kuasa ekonomi juga antara kesan terhadap Malaysia termasuk China dan Amerika Syarikat (AS) dan isu-isu berkaitan yang diistilahkan sebagai 'decoupling'

"Setiap negara bagaimana mereka bersaing dan menyelamatkan (negara) dalam keadaan persaingan yang sengit," katanya lagi.