Skip to main content

Dunia

Malaysia sedia kongsi kepakaran halal, kewangan Islam dengan BARMM

MANILA, August 18 -- Foreign Minister Datuk Seri Mohamad Hasan when met by media after the ninth Philippines-Malaysia Joint Commission Meeting (JCM) at the Department of Foreign Affairs here today.   -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Mohamad pada sidang media selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Filipina-Malaysia kesembilan hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MANILA: Malaysia bersedia berkongsi kepakarannya dalam ekonomi halal dan kewangan Islam bagi menyokong pembangunan sosioekonomi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM), sebuah wilayah autonomi di selatan Filipina.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat potensi pelaburan yang besar di BARMM, khususnya bagi syarikat multinasional Malaysia dalam sektor perladangan, dengan Kerajaan Filipina bersedia mempermudah kemasukan syarikat berkenaan ke wilayah itu.

Mohamad, yang bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Filipina-Malaysia kesembilan dengan Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro di sini hari ini, berkata beberapa syarikat Malaysia, termasuk Maybank, sudah bertapak di BARMM.

“Kawasan ini mempunyai potensi pelaburan buat syarikat Malaysia, terutamanya syarikat multinasional yang berasaskan plantation (perladangan). Tanah di sana subur dan ia boleh menjadi sebagai kawasan baharu untuk syarikat plantation membawa pelaburan dan membuka kawasan ladang yang baharu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini hari ini. 

Beliau berkata Malaysia amat mementingkan kerjasama jangka panjang dengan Filipina dalam menyokong proses perdamaian di Mindanao, dan kekal komited untuk menggalakkan keamanan berkekalan, kestabilan serta pembangunan inklusif di rantau itu.

“Sebagai pemudah cara pihak ketiga, Malaysia kekal komited untuk menyokong keamanan yang berkekalan, kestabilan dan pembangunan inklusif di Mindanao,” katanya.

Malaysia berperanan sebagai pengantara dalam rundingan antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dari 2001 hingga 2012, proses perdamaian itu akhirnya membawa kepada penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro pada 2019.

Sementara itu, Mohamad menggesa Malaysia dan Filipina memperkukuh kerjasama dalam bidang produktiviti pertanian, pertanian mampan, rantaian bekalan makanan, teknologi serta perdagangan produk makanan dan pertanian bagi memperkasakan daya tahan rantaian bekalan ASEAN dan perdagangan dalam ASEAN.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026, dan Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Manila untuk memajukan perdagangan dan integrasi ekonomi, memperkukuh ekonomi digital, meningkatkan keterjaminan makanan serta daya tahan rantaian bekalan, selain menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau.

Mohamad dan Lazaro turut menandatangani Minit Persetujuan selepas mesyuarat itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino serta pegawai kanan lain.

Malaysia akan menjadi tuan rumah JCM Filipina-Malaysia ke-10 pada 2027.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement