INTERNATIONAL
Malaysia, Singapura sepakat perkasa kerjasama pelaburan dan perdagangan - Anwar

Anwar bertemu Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura sepakat untuk terus memperkasakan kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan dengan memberi tumpuan kepada projek utama melibatkan kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Singapura bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelaburan dan perdagangan, dengan tumpuan kepada projek seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan RTS Link.
- Kedua-dua negara akan memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, tenaga mampan, dan Grid Tenaga ASEAN.
- Mereka juga bersepakat menyelesaikan isu dua hala secara konstruktif demi kebaikan bersama dan hubungan jangka panjang yang harmoni.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Menurut Anwar, beliau dan Wong turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, tenaga mampan dan Grid Tenaga ASEAN.
"Malaysia dan Singapura juga sepakat untuk menyelesaikan isu dua hala secara konstruktif demi kebaikan bersama serta hubungan jangka panjang yang harmoni," kata beliau.
Wong tiba semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di KLCC.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di ibu negara pada 26 dan 27 Mei, berserta dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.
Bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami