MALÉ: Status Maldives sebagai sebuah negara dengan 100 peratus penduduk beragama Islam membuka ruang strategik untuk memperkukuh kerjasama institusi Islam, khususnya dalam aspek pensijilan halal, pengurusan wakaf dan tadbir urus haji bersama Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan menjadi antara inti pati penting yang dibincangkan menerusi pertemuan dua hala bersama kepimpinan tertinggi Maldives, memandangkan negara kepulauan itu melihat ekosistem Islam yang dibangunkan Malaysia sebagai rujukan terbaik.
Menurut beliau, Maldives bukan sahaja komited memelihara identiti Islamnya di pentas antarabangsa, malah mahu menyerap amalan terbaik Malaysia dalam menguruskan hal ehwal umat Islam secara tersusun dan profesional.
"Yang kedua tadi, status sebagai negara Islam. Di negara ini seratus peratus beragama Islam, dan mereka mahu meningkatkan kerjasama. Kita bersedia.
"Dia sangat ambil berat soal halal, soal kerjasama dalam latihan, dalam dakwah, dalam urus, khusus Muslim, khusus wakaf, haji, kerjasama dan juga melihat ke dalam Malaysia," kata beliau pada sidang media penutup lawatan rasminya di sini, hari ini.
Jelas Anwar, minat mendalam Maldives terhadap sektor halal memberi peluang besar kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation (HDC) untuk memperluas jangkauan pensijilan piawaian Malaysia, terutamanya bagi menyokong rantaian industri hospitaliti dan pelancongan global yang menjadi nadi ekonomi Maldives.
Selain industri halal Anwar menjelaskan, Malaysia turut bersedia berkongsi kepakaran membabitkan instrumen kewangan sosial Islam termasuk wakaf produktif serta model pengurusan tabung haji yang telah diiktiraf di peringkat dunia.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden di Malé, di mana kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) dan membincangkan pelbagai inisiatif diplomatik dua hala.
Pertemuan tersebut mengukuhkan lagi hubungan bersejarah kedua-dua negara, sekali gus melengkapkan siri lawatan rasmi dua hari Anwar ke Maldives selepas menyempurnakan lawatan kerja empat hari ke India merangkumi New Delhi dan Keralam.
Segala perincian berhubung rangka kerja latihan dakwah, pemerkasaan wakaf, serta penyelarasan piawaian pensijilan halal ini akan diselaraskan secara komprehensif menerusi mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission) Malaysia-Maldives yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur tahun hadapan.