RIO DE JANEIRO: Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang wanita daripada runtuhan di Colombia pada Selasa, hampir 30 jam selepas gempa bumi dahsyat melanda negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Wanita itu terperangkap di tingkat dua bangunan lima tingkat yang runtuh.
Anggota bomba Santiago Sanchez memberitahu penyiar Caracol bahawa operasi menyelamat yang rumit dan mengambil masa kira-kira 16 jam.
Pasukan penyelamat terpaksa menggali sedalam “tujuh atau lapan meter” untuk mengeluarkan wanita berkenaan.
Keadaan wanita itu “baik, mengambil kira situasi yang dilaluinya,” kata Sanchez.
Dipercayai 24 lagi mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan berkenaan dan usaha menyelamat masih diteruskan.
Gempa bumi berlaku pada Isnin pada 7.34 pagi (1234 GMT) berhampiran San Jose del Palmar di wilayah barat Choco, pada kedalaman kira-kira 103 kilometer.
Presiden Abelardo de la Espriella berkata angka korban kini melebihi 250 orang.
Sekurang-kurangnya 2,595 orang cedera dalam gempa berukuran 7.4 magnitud itu, antara yang terkuat melanda Colombia dalam tempoh beberapa dekad.
De la Espriella berkata 195 orang direkodkan secara rasmi sebagai hilang. Bagaimanapun, sebuah platform dalam talian tidak rasmi yang membolehkan orang ramai mendaftarkan ahli keluarga hilang menyenaraikan lebih 4,000 kes.
Pakar bencana menganggap tempoh 72 jam pertama selepas gempa bumi sebagai tempoh kritikal untuk menemukan mangsa yang masih hidup.
-- BERNAMA-dpa