Skip to main content

Sukan

Malaysia tewas kepada Jepun, terlepas final ACT 2026

Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat berdepan India atau Korea Selatan yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Foto MHC
Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat berdepan India atau Korea Selatan yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Foto MHC
Advertisement

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki negara untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas tewas 3-5 kepada Jepun menerusi penentuan penalti pada aksi separuh akhir kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Punjab, India semalam.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Surjit Singh, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 60 minit tempoh permainan, sebelum Jepun tampil cemerlang dalam penentuan penalti untuk mengesahkan tempat di final.

Lima pemain Jepun yang berjaya menyempurnakan pukulan penalti masing-masing ialah Kazumasa Matsumoto, Ryoma Ooka, Tanaka Tsubasa, Haruki Ochiai dan Tanaka Seren.

Advertisement

Tiga gol Malaysia diperoleh hasil jaringan Nik Aiman Rozemi, Shello Silverius dan Azrai Aizad Abu Kamal manakala Faizal Saari gagal menyempurnakan percubaannya, sekali gus menyaksikan skuad Speedy Tigers terlepas peluang melangkah ke final.

Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat berdepan India atau Korea Selatan yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Advertisement

Sementara itu, ketua jurulatih negara Brendon Carolan berkata anak buahnya mempamerkan aksi positif sepanjang perlawanan separuh akhir, namun kegagalan memanfaatkan beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti menjadi faktor membezakan kedua-dua pasukan.

“Kita mempunyai banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal memanfaatkannya pada saat penting. Dengan jumlah peluang sebanyak itu, kami sepatutnya mampu memenangi perlawanan,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement