“Masa kecil yang musnah”, perlu tempoh pemulihan panjang di Gaza - WHO

Trauma, kecederaan, kesedihan serta masa kecil kanak-kanak yang musnah di Gaza akan mengambil masa yang jauh lebih lama untuk pulih, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza memerlukan tempoh yang jauh lebih lama untuk pulih daripada trauma akibat dua tahun keganasan, meskipun keadaan sementara kini lebih tenang berikutan gencatan senjata semasa, lapor Anadolu Ajansi.
Bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, gencatan senjata memberi "detik-detik ketenangan" kepada kanak-kanak yang berdepan pengeboman, perpindahan dan kehilangan.
"Gencatan senjata yang rapuh ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk bernafas, berhubung, bermain dan mula sembuh.
"Namun trauma, kecederaan, kesedihan serta masa kecil yang musnah akan mengambil masa yang jauh lebih lama untuk pulih," kata Ghebreyesus dalam catatannya di X.
Beliau menegaskan, luka emosi dan fizikal masih parah walaupun pertempuran berkurangan, sambil menekankan bahawa kerosakan terhadap sistem kesihatan Gaza terus menyukarkan proses pemulihan.
Ghebreyesus berkata, pasukan WHO kini berada di lapangan bagi menyokong pemulihan dan pembinaan semula sistem kesihatan, selain memperluas perkhidmatan kesihatan mental kepada kanak-kanak, yang kebanyakannya menyaksikan kitaran konflik berulang kali.
Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, beliau menggesa pematuhan penuh terhadap gencatan senjata dan menyeru usaha ke arah "perdamaian berkekalan" demi keselamatan serta kesejahteraan generasi muda Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


