Skip to main content

Dunia

NTSB temui komponen penting pesawat beberapa kilometer dari lokasi nahas di Florida

Kerja pemeriksaan bangkai pesawat turut berdepan kesukaran kerana impak yang kuat menghasilkan kawah besar di lokasi kejadian. - Foto fail/REUTERS
Kerja pemeriksaan bangkai pesawat turut berdepan kesukaran kerana impak yang kuat menghasilkan kawah besar di lokasi kejadian. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Penyiasat NTSB percaya beberapa komponen penting jet peribadi yang terhempas di Palm Beach tercabut ketika pesawat masih di udara.
  • Serpihan 'left elevator' ditemui dalam tiga bahagian antara dua hingga enam kilometer dari lokasi nahas, menunjukkan ia tercabut sebelum terhempas.
  • Rakaman komunikasi menunjukkan kru melaporkan gelora udara, ais, dan pesawat menjunam sebelum mengisytiharkan kecemasan; sembilan individu terkorban.
Advertisement

FLORIDA: Penyiasat keselamatan penerbangan Amerika Syarikat (AS) percaya beberapa komponen penting sebuah jet peribadi yang terhempas di Palm Beach, Florida, Ahad lalu mungkin tercabut ketika pesawat itu masih berada di udara sebelum nahas yang meragut kesemua sembilan individu di dalamnya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata antara komponen yang ditemui ialah sebahagian besar 'left elevator', iaitu permukaan kawalan pada bahagian ekor pesawat yang berfungsi mengawal pergerakan muncung pesawat ke atas dan ke bawah.

Ahli lembaga NTSB, Tom Chapman, berkata serpihan itu ditemui dalam tiga bahagian pada jarak antara kira-kira dua hingga enam kilometer dari lokasi nahas.

Advertisement

Menurut beliau, jarak penemuan komponen terbabit menunjukkan ia berkemungkinan tercabut sebelum pesawat menghentam bumi.

"Kehilangan komponen itu adalah petunjuk penting yang membantu kami menentukan arah siasatan seterusnya," katanya.

Advertisement

Bagaimanapun, penyiasat masih belum dapat memastikan sama ada kerosakan pada komponen itu menyebabkan pesawat menjunam atau ia tercabut akibat tekanan luar biasa yang dialami pesawat ketika penerbangan.

Jet Learjet 60 berkenaan sedang dalam perjalanan dari Austin, Texas ke Bahamas sebelum menjunam ke sebuah lebuh raya berbilang lorong di Palm Beach dan meletup sebaik menghentam permukaan jalan.

Rakaman komunikasi antara kokpit dan menara kawalan menunjukkan kru penerbangan sebelum itu melaporkan keadaan gelora udara sederhana serta ais yang terbentuk pada pesawat.

Beberapa ketika kemudian, juruterbang memaklumkan pesawat sedang melalui hujan dan perlu menambah ketinggian.

Namun tidak lama selepas itu, kru melaporkan pesawat menjunam pada kadar kira-kira 10,000 kaki seminit sebelum mengisytiharkan kecemasan.

Dalam rakaman sama, juruterbang turut memberi amaran pesawat berada dalam keadaan 'overspeed' ketika menurun pada kadar sehingga 20,000 kaki seminit dan menyatakan mereka bakal terhempas.

NTSB kini turut menyiasat kemungkinan faktor cuaca memainkan peranan dalam nahas tersebut.

Chapman berkata kerja pemeriksaan bangkai pesawat turut berdepan kesukaran kerana impak yang kuat menghasilkan kawah besar di lokasi kejadian serta menyebabkan kerosakan teruk pada struktur pesawat.

Antara mangsa yang terkorban ialah usahawan teknologi Adam Robinson, isterinya Helen Sharp, dua anak mereka, Emma dan Charlie, selain tiga kenalan keluarga serta seorang pengasuh.

Media tempatan melaporkan juruterbang pesawat itu ialah Jeffrey Gregory, 55, manakala pembantu juruterbang dikenal pasti sebagai Nathalia Filgueiras, 20, yang memperoleh lesen juruterbang ketika berusia 17 tahun.

 

 

Must Watch Video

Advertisement