TELUK INTAN: Seorang lelaki maut ditetak dengan parang selepas diserang tiga lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah kedai di Taman Banjar Jaya di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata, Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima panggilan orang awam melalui talian kecemasan 999 berhubung kejadian itu, kira-kira jam 3.53 petang.
Menurutnya, mangsa berumur 48 tahun yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati, mangsa diserang oleh tiga lelaki menggunakan parang.
Bagaimanapun, katanya, motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.
Menurutnya, seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian, termasuk mengenai pergerakan individu atau kenderaan yang mencurigakan di sekitar lokasi kejadian, supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-629 9222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan.