SINGAPURA: Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengarahkan masjid di seluruh negara itu memendekkan khutbah Jumaat mulai hari ini susulan cuaca yang semakin panas serta fenomena jerebu di beberapa kawasan.
MUIS menerusi hantaran di Facebook berkata Singapura kini mengalami cuaca yang semakin panas, manakala jerebu turut mula dikesan di beberapa kawasan.
“Bermula minggu ini, khutbah Jumaat akan dipendekkan bagi membantu memastikan keselesaan jemaah dalam keadaan cuaca yang mencabar ini.
“Kebiasaannya khutbah pertama sepanjang enam hingga tujuh halaman, namun menerusi perubahan sementara ini, ia akan dipendekkan kepada kurang empat halaman,” menurut MUIS pada Jumaat.
MUIS berkata perubahan itu berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak dan merupakan langkah penyesuaian yang perlu berdasarkan keadaan semasa.
“Semoga langkah ini dapat membantu memudahkan para jemaah untuk berhimpun, beribadah dan kekal selesa dalam keadaan cuaca yang mencabar ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA