NUSANTARA: Masjid Negara di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, kini siap menerima kehadiran jemaah bagi pelaksanaan program Ramadan 2026, sekali gus menandakan satu lagi kemajuan penting dalam pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia.
Pengarah Perkhidmatan Asas Pihak Berkuasa IKN (OIKN), Suwito, berkata pembinaan masjid yang mencapai 98.4 peratus itu melayakkannya digunakan untuk solat lima waktu, solat Jumaat serta sesi pengajian.
Advertisement
Beliau menambah bahawa buat pertama kali, masjid tersebut akan menganjurkan solat Tarawih dan solat Aidilfitri tahun ini.
Masjid berkenaan, yang mampu menampung lebih 60,000 jemaah, dilengkapi menara setinggi 99 meter serta keluasan lantai 32,125 meter persegi.
Ia turut menyediakan perpustakaan digital, bilik mesyuarat dan ruang komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
OIKN merancang pelbagai program Ramadan termasuk bazar, majlis berbuka puasa beramai-ramai, festival kulinari, bacaan al-Quran serta sambutan Nuzul Quran.
Selain itu, sebanyak 12 masjid lain dan 37 surau di sekitar Nusantara turut bersedia menganjurkan aktiviti Ramadan tahun ini.
Kementerian Agama Indonesia sebelum ini mengesahkan masjid itu telah mencapai tahap kesiapsiagaan operasi selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh pegawai kementerian bersama OIKN.
Pemeriksaan itu merangkumi dewan solat utama, ruang wuduk, mimbar, bilik imam serta kemudahan sokongan lain.
Menurut Kementerian Agama, pengoperasian masjid ini selaras dengan visi Nusantara sebagai bandar masa depan yang menampilkan pendekatan Islam sederhana, inklusif dan selari dengan prinsip pemuliharaan alam sekitar.
Ia dijangka menjadi rujukan nasional dari aspek pengurusan, perkhidmatan agama dan fungsi sosialnya.