Skip to main content

Dunia

Mayat 55 rakyat Palestin ditemukan hampir tiga tahun selepas serangan udara Israel

Mourners light candles by the bodies of Palestinians recovered from the rubble of homes demolished during the Israel-Hamas war in Gaza City, Saturday, Sept. 5, 2026. (AP Photo/Jehad Alshrafi)
Orang ramai menyalakan lilin di sisi jenazah rakyat Palestin yang ditemukan semula daripada runtuhan rumah yang musnah akibat perang Israel-Hamas di Bandaraya Gaza. - Foto AP
Advertisement

BANDARAYA GAZA: Pasukan pertahanan awam Gaza berjaya menemukan mayat 55 rakyat Palestin yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel hampir tiga tahun lalu, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Operasi yang berakhir pada Sabtu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengeluarkan mangsa yang masih tertimbus di bawah timbunan runtuhan di seluruh Gaza, walaupun berdepan kekurangan jentera berat bagi mempercepatkan kerja-kerja menyelamat dan pemulihan.

Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan mayat-mayat berkenaan ditemukan di bawah runtuhan kediaman keluarga Malka di kawasan Zeitoun, Bandaraya Gaza.

Pegawai pertahanan awam, Kolonel Muhammad Abu Dan, berkata pasukan penyelamat telah menjalankan operasi selama 72 jam bagi mencari lebih 60 mangsa daripada keluarga Malka yang dipercayai terkorban dalam serangan itu.

Menurut Wafa, bangunan tersebut diserang tentera Israel pada 19 November 2023 ketika anggota keluarga berkenaan berlindung di situ selepas dipindahkan dari kediaman masing-masing susulan perang yang tercetus di Gaza.

Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 82 peratus bangunan di Gaza musnah atau mengalami kerosakan sepanjang konflik berkenaan.

Kementerian Kesihatan Gaza bersama agensi PBB dan organisasi bantuan kemanusiaan pula menganggarkan antara 10,000 hingga 14,000 individu masih tertimbus atau hilang di bawah runtuhan di seluruh wilayah itu.

Abu Dan menggesa pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menyalurkan lebih banyak peralatan dan jentera bagi membantu pasukan penyelamat mengeluarkan seramai mungkin mangsa yang masih tertimbus.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, satu upacara pengebumian besar-besaran dijangka diadakan hujung minggu depan bagi menguruskan kebanyakan mayat yang telah ditemui.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, berkata tiada rancangan untuk memaksa penduduk Palestin meninggalkan Gaza, susulan kenyataan beberapa pemimpin Israel yang mencadangkan penghijrahan besar-besaran penduduk wilayah itu.

Beliau berkata tiada pihak, termasuk kerajaan Israel dan Amerika Syarikat, menyokong pemindahan paksa penduduk Gaza.

Bagaimanapun, awal minggu ini, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dilaporkan menyatakan penghijrahan penduduk merupakan antara penyelesaian yang boleh dipertimbangkan bagi masa depan Gaza, manakala Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, mengemukakan pelan tujuh tahun yang melibatkan penghijrahan secara sukarela penduduk wilayah itu.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan hospital-hospital di wilayah itu menerima 17 mayat dan 27 mangsa cedera dalam tempoh 48 jam lalu.

Jumlah itu termasuk lima kematian baharu, seorang mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan terdahulu serta 11 mayat yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.

Menurut kementerian berkenaan, ramai lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan atau berada di lokasi yang belum dapat diakses oleh pasukan ambulans dan pertahanan awam.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin turut dilaporkan cedera dalam serangan Israel pada Sabtu, termasuk dua orang dalam serangan di kawasan pantai Al-Khalidi di utara Bandaraya Gaza dan seorang lagi di kawasan Al-Sudaniyya, barat laut bandar itu.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 1,344 orang terbunuh, 4,464 cedera dan 815 mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata jumlah keseluruhan korban sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kini meningkat kepada 73,470 orang, manakala sekurang-kurangnya 174,540 lagi cedera.

 

 

Must Watch Video

Advertisement