Skip to main content

Dunia

Media Iran dedah draf perjanjian 14 perkara dengan AS - Agensi

Iran, US Flag
Mehr melaporkan draf itu mencadangkan penghentian segera dan kekal semua permusuhan di semua medan konflik termasuk di Lubnan sebelum rundingan serta pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari dengan sebarang penyelarasan dilakukan oleh pihak berkuasa Iran. - Gambar fail

Media Iran mendedahkan kandungan draf memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara antara Tehran dan Washington.

Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Mehr hari ini, dokumen tersebut masih tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak berkuasa Iran sebelum boleh diterima pakai secara rasmi.

Mehr melaporkan draf itu mencadangkan penghentian segera dan kekal semua permusuhan di semua medan konflik termasuk di Lubnan sebelum rundingan selama 60 hari bermula.

Dokumen itu turut menetapkan pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari dengan sebarang penyelarasan dilakukan oleh pihak berkuasa Iran.

Dalam aspek ekonomi, Tehran menuntut penggantungan sekatan terhadap sektor minyak dan petrokimia serta akses penuh kepada sumber kewangan negara yang terjejas akibat sekatan Barat.

Draf itu juga menggesa pembebasan aset Iran bernilai AS$24 bilion (kira-kira RM96 bilion) yang dibekukan di luar negara sepanjang tempoh rundingan berlangsung, dengan separuh daripada jumlah itu dicadangkan untuk disalurkan sebelum rundingan akhir bermula.

Draf itu turut mencadangkan pelan pembinaan semula Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.2 trilion) yang perlu dibiayai atau disokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Selain itu, Tehran turut menuntut jaminan Washington tidak campur tangan dalam urusan dalaman Iran, tidak mengenakan sekatan baharu serta menghormati kedaulatan negara itu.

Mengenai isu nuklear, Iran akan menegaskan semula komitmennya di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) untuk tidak menghasilkan senjata nuklear.

Bagaimanapun, draf itu menetapkan bahawa rundingan muktamad hanya akan tertumpu kepada aktiviti pengayaan uranium, pelonggaran sekatan dan pemulihan ekonomi Iran.

Perbincangan mengenai program peluru berpandu Iran dan sokongan Tehran terhadap kumpulan yang digelar sebagai muqawamah atau paksi penentangan tidak dilibatkan dalam draf tersebut.

Menurut Mehr, sebarang perjanjian muktamad juga dicadangkan untuk disahkan menerusi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain dipantau melalui satu mekanisme khas bagi memastikan pelaksanaannya.

Laporan Anadolu itu turut menyatakan beberapa peruntukan dalam draf berkenaan berbeza daripada maklumat yang sebelum ini dilaporkan portal berita Amerika Syarikat (AS), Axios.

Menurut Axios, gencatan senjata sedia ada hanya akan dilanjutkan selama 60 hari sementara rundingan diteruskan, manakala pembukaan semula Selat Hormuz pula dilaporkan berlaku serta-merta tanpa sebarang tol atau sekatan.

Axios juga melaporkan Tehran hanya akan diberikan akses kepada sebahagian dana yang dibekukan bagi tujuan kemanusiaan melalui mekanisme yang dibincangkan bersama Qatar.

Semalam, Presiden AS Donald Trump berkata perjanjian bagi menamatkan perang antara AS, Israel dan Iran secara kekal mungkin dimeterai seawal hujung minggu ini.

Must Watch Video

Advertisement