DUNIA
Menteri Luar China, Afghanistan bincang isu pembangunan dan keselamatan

Timbalan Perdana Menteri Pakistan Ishaq Dar (kanan), bersama Menteri Luar Afghanistan Amir Khan Muttaqi (tengah) dan Menteri Luar China Wang Yi dalam pertemuan menjelang sidang kemuncak di Kabul. - AP
KABUL: China menegaskan dasar persahabatan dengan rakyat Afghanistan serta komitmen menyokong kerajaan negara itu mentadbir secara mampan ke arah membina masyarakat yang stabil dan aman untuk jangka panjang.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Afghanistan, Amir Khan Muttaqi di sini pada Rabu.
"Hubungan antara isu keselamatan dan pembangunan perlu ditangani dengan baik.
"Peningkatan kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara boleh menjadi jaminan kepada kerjasama ekonomi, manakala kerjasama ekonomi yang lebih erat akan meningkatkan kemampuan Afghanistan dalam bidang keselamatan."Afghanistan diharap terus memberi tumpuan memerangi kumpulan pengganas Gerakan Islam Turkistan Timur (ETIM) bagi menghapuskan halangan dalam perkembangan hubungan dua hala," kata Wang.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik China-Afghanistan.
Wang berkata China menyokong dasar 'berpaksikan ekonomi' Afghanistan dan bersedia memperkukuh persahabatan tradisional, meningkatkan keyakinan politik, serta mengembangkan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pertanian, pembasmian kemiskinan, pengairan, kesalinghubungan dan sosiobudaya.
Usaha itu diyakini dapat membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sekali gus menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau, katanya.
Muttaqi pula menyifatkan persahabatan dengan China sebagai batu asas diplomasi Afghanistan.
Beliau menegaskan negaranya memberi keutamaan terhadap keprihatinan Beijing berhubung isu keselamatan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan wilayahnya untuk mengancam kepentingan China.
Afghanistan, katanya, komited memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang keselamatan dan memerangi keganasan, serta bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan serantau untuk jangka panjang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami