BEIJING: China kekal dengan pendirian konsisten dalam mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menolak penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
Menteri Luar China Wang Yi membuat kenyataan itu susulan perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Rusia Sergei Lavrov menerusi panggilan telefon pada Ahad.
Advertisement
Majlis Keselamatan PBB pada Sabtu mengadakan mesyuarat tergempar berhubung situasi semasa di Iran, atas dorongan China dan Rusia.
Wang berkata, China berpendirian bahawa operasi ketenteraan perlu dihentikan serta-merta bagi mencegah api peperangan daripada terus merebak.
Pihak-pihak terbabit harus kembali ke meja rundingan secepat mungkin, kata beliau sambil menambah bahawa sebarang bentuk tindakan unilateral perlu ditolak.
Sementara itu, Lavrov menyatakan bahawa Rusia berkongsi pendirian sama dengan China serta bersedia memperkukuh koordinasi dan komunikasi dengan China bagi menghantar isyarat yang jelas melalui platform seperti PBB dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dalam menggesa penghentian permusuhan dan kembali ke landasan diplomasi.
–BERNAMA-CMG