SEREMBAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mendakwa kini mempunyai majoriti mudah membentuk kerajaan negeri susulan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan media pada petang Isnin, BN Negeri Sembilan berkata parti itu sentiasa bersikap pragmatik dan inklusif.
Advertisement
Demikian itu, BN Negeri Sembilan menyambut baik kesediaan lima ADUN PN untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
"Kami percaya bahawa penyatuan suara majotiti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini.
"Maka dengan itu, melalui kenyataan sokongan daripada lima ADUN PN, parti UMNO-BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.
"Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera," katanya lagi.
Sebagai rekod, lima kerusi dipegang PN di Negeri Sembilan terdiri daripada pecahan tiga Pas dan dua Bersatu.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan yang diumumkan ADUN-ADUN terbabit merupakan keputusan di peringkat negeri, justeru ia akan dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti untuk penelitian lanjut.
Pada pagi Isnin, BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.