KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk memperluaskan segmen pelancongan pendidikan dan sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) sebagai strategi utama dalam menarik lebih ramai pelancong bernilai tinggi daripada pasaran Indonesia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pasaran Indonesia mempunyai potensi pertumbuhan yang memberangsangkan, sekali gus memerlukan peningkatan usaha promosi dua hala bagi menyuntik momentum kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Advertisement
Beliau berkata trend pelancongan semasa menunjukkan terdapat peningkatan ketara terhadap permintaan untuk jadual perjalanan pelbagai destinasi serta pelancongan berasaskan pengalaman dalam kalangan rakyat negara jiran itu.
“Permintaan pelancong Indonesia terhadap jadual perjalanan pelbagai destinasi dan pelancongan berasaskan pengalaman terus meningkat. Selain destinasi popular seperti Kuala Lumpur dan Melaka, negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak kini mula dipromosikan bagi mempelbagaikan pilihan produk pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan Travel4All, sebuah platform pelancongan terkemuka di Indonesia yang mengendalikan portal dalam talian "Mampir Malaysia".
Tiong ketika mengulas mengenai potensi pelancongan pendidikan berkata minat pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian dan menyertai program pembelajaran jangka pendek di Malaysia kini menjadi segmen pertumbuhan yang penting.
“Kerjasama berkaitan termasuk pertukaran pelajar, lawatan ke universiti dan ekspedisi pembelajaran berpotensi memperluas sumber pelancong dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong memberi jaminan sokongan dan insentif akan disalurkan melalui agensi berkaitan bagi menggalakkan organisasi luar memilih Malaysia sebagai lokasi penganjuran acara utama untuk memperkasakan sektor MICE.
Beliau turut menekankan kepentingan mempereratkan kerjasama dengan pengusaha tempatan melalui Tourism Malaysia bagi memastikan kemudahan perjalanan dan kualiti perkhidmatan, termasuk tatacara pengendalian pelancong berkumpulan sentiasa berada pada tahap terbaik demi kepuasan pelancong.
-- BERNAMA