SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga mengalami keguguran di Ambangan Heights dekat sini adalah lelaki yang sama dalam kes pukul isteri sehingga koma yang berlaku di Johor pada 2021.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata suspek berusia 43 tahun itu kini sedang diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Advertisement
“Ini adalah lelaki yang sama dengan kes di Johor... Apa saja panduan yang ada, kami siasat daripada segenap aspek. Kami juga sedang berusaha mengesan pelaku dalam kejadian ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Hanyan berkata mangsa masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini akibat beberapa kecederaan di seluruh bahagian badan yang dialami.
Media semalam melaporkan seorang penjawat awam berusia 39 tahun cedera pada badan dan lebam pada muka dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan kandungannya yang berusia 12 minggu keguguran.
Pada 2021, Jahidah Nordin yang juga hamil dilaporkan dipukul suaminya di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor sehingga mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan otak sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.
Jahidah kini berusia 48 tahun, masih terlantar dan menerima rawatan berpanjangan walaupun telah selamat melahirkan bayi lelaki pada November 2021.
Pada 4 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas suaminya Rosmaini Abd Raof, 43, yang bekerja sebagai peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma.
Peguam Rosmaini kemudian memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan ia dibenarkan mahkamah.
-- BERNAMA