Skip to main content

Dunia

Meta bakal kurangkan 8,000 pekerja susulan peningkatan perbelanjaan AI

41521772351_MarkZuckerberg.jpg
Mark Zuckerberg sebelum ini memberi bayangan mengenai langkah itu dalam kenyataan awam pada Januari lalu, yang menunjukkan syarikat berkenaan bakal melakukan pusingan pemberhentian kerja sekali lagi tahun ini. - Gambar fail

META dijangka mengurangkan ribuan pekerjaan bulan depan ketika syarikat itu meningkatkan perbelanjaannya ke tahap tertinggi bagi projek kecerdasan buatan (AI).

Dalam satu memo kepada kakitangan pada Khamis, syarikat itu memaklumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya, melibatkan sekitar 8,000 pekerja. 

Advertisement

Meta turut memaklumkan, ia tidak akan mengisi ribuan kekosongan jawatan yang sebelum ini dalam proses pengambilan.

Langkah pemberhentian kerja itu didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan Meta dalam beberapa bidang lain, termasuk AI. 

Syarikat itu dijangka membelanjakan sekitar AS$135 bilion untuk AI tahun ini, hampir menyamai jumlah perbelanjaan bagi tempoh tiga tahun sebelumnya digabungkan, menurut sumber yang melihat memo tersebut.

Jurucakap Meta mengesahkan rancangan pengurangan pekerjaan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, sebelum ini memberi bayangan mengenai langkah itu dalam kenyataan awam pada Januari lalu, yang menunjukkan syarikat berkenaan bakal melakukan pusingan pemberhentian kerja sekali lagi tahun ini.

Zuckerberg berkata, beliau melihat peningkatan besar dalam produktiviti pekerja yang banyak bergantung kepada peralatan AI, selain menyatakan seorang individu kini mampu menyiapkan projek yang sebelum ini memerlukan sebuah pasukan besar.

“Saya percaya tahun 2026 akan menjadi tahun AI mula mengubah secara drastik cara kita bekerja,” katanya.

Minggu lalu, agensi berita Reuters melaporkan, Meta merancang untuk memberhentikan lebih 10,000 pekerja berpotensi tahun ini. 

Memo kepada kakitangan pada Khamis itu pula pertama kali dilaporkan oleh Bloomberg.

Meta sebelum ini telah mengurangkan kira-kira 2,000 pekerja dalam dua pusingan pemberhentian kerja lebih kecil tahun ini. 

Namun, kakitangan syarikat itu sudah menjangkakan pengurangan yang jauh lebih besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini, seperti yang pernah dilaporkan BBC.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tumpuan dalaman dan perbelanjaan Meta dilihat semakin beralih kepada usaha mengejar pembangunan model dan peralatan AI.

Awal minggu ini, syarikat itu turut memaklumkan kepada kakitangan bahawa ia akan mula menjejak dan merekod interaksi mereka dengan komputer kerja bagi membantu melatih dan menambah baik model AI, satu langkah yang disifatkan oleh seorang pekerja sebagai “bersifat distopia” dalam suasana pemberhentian kerja yang semakin hampir.

“Syarikat ini kini terlalu taksub dengan AI,” kata pekerja itu kepada BBC.

Sejak 2022, Meta telah melaksanakan beberapa pusingan pengurangan tenaga kerja, melibatkan puluhan ribu pekerja. 

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian kembali mengambil pekerja baharu dan jumlah keseluruhan kakitangannya pada tahun lalu dilihat hampir kembali ke tahap sebelum pemberhentian kerja awal dilakukan.

Pengurangan pekerjaan yang bakal diumumkan ini dijangka menjadi yang terbesar sejak tahun 2023. - Agensi

Must Watch Video