LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberitahu BBC pada Khamis (23 April) bahawa lawatan negara Raja Britain, Raja Charles III ke AS berpotensi “pasti” membantu memulihkan hubungan tegang antara kedua-dua negara.
Raja Charles dijadual berangkat ke AS pada Isnin depan bagi lawatan selama empat hari, ketika hubungan rentas Atlantik berdepan ketegangan susulan perang Iran serta beberapa skandal berkaitan pesalah seks AS yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein, yang dijangka membayangi lawatan bersejarah itu.
Advertisement
Ketika ditanya BBC sama ada lawatan Raja Charles mampu memperbaiki hubungan antara AS dan UK, Trump menjawab: “Sudah tentu. Beliau hebat. Seorang yang sangat hebat. Jawapannya sememangnya ya.”
Ini merupakan lawatan negara pertama Raja Charles ke AS sejak menaiki takhta, atas permintaan kerajaan UK dan Trump.
Baginda akan mengadakan lawatan bersama Permaisuri Camilla sebelum meneruskan lawatan ke Bermuda secara bersendirian.
Trump sebelum ini melancarkan kritikan keras terhadap Perdana Menteri UK, Keir Starmer, kerana tidak menyertai perang AS–Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada 28 Februari lalu.
Dalam temu bual telefon bersama BBC, Trump mengulas tindak balas ketenteraan sekutu AS termasuk Britain dengan berkata mereka “sepatutnya turut serta” sambil menambah: “Namun saya jelas tidak memerlukan mereka.”
Starmer turut berdepan tekanan politik susulan kontroversi pelantikan tokoh kanan Parti Buruh, Peter Mandelson, yang terkenal sebagai kenalan rapat Epstein, sebagai Duta Besar UK ke Washington.
Trump berkata kepada BBC bahawa Starmer hanya mampu “memulihkan” kedudukannya sekiranya beliau “membuka Laut Utara” bagi meningkatkan pengeluaran minyak dan gas serta memperketatkan dasar imigresen negara itu.
“Jika tidak, saya rasa beliau tidak mempunyai sebarang peluang,” kata Trump.