CALIFORNIA: Perbicaraan yang boleh menjadi penentu kepada masa depan industri media sosial bermula di Mahkamah Persekutuan California apabila Meta berdepan dakwaan bahawa syarikat itu menyedari risiko platformnya terhadap golongan muda, namun gagal mendedahkan perkara tersebut kepada umum.
Kes berkenaan dikemukakan oleh 29 negeri di Amerika Syarikat (AS), dengan empat negeri mengetuai prosiding yang menyasarkan ganti rugi berbilion dolar daripada syarikat pemilik Facebook dan Instagram itu.
Dalam hujah pembukaan, pihak pendakwa mendakwa Meta membina model perniagaannya dengan memberi keutamaan kepada penglibatan pengguna, khususnya remaja, bagi memastikan mereka terus menghabiskan masa di platform syarikat berkenaan.
Peguam yang mewakili California berkata strategi Meta tertumpu kepada usaha menarik pengguna baharu, mengekalkan mereka selama mungkin di platform, mengumpul data peribadi serta tidak bersikap telus mengenai kesan yang mungkin timbul terhadap pengguna muda.
Menurut pihak negeri, reka bentuk dan ciri tertentu pada Facebook serta Instagram didakwa mendorong penggunaan berpanjangan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan syarikat itu terhadap undang-undang privasi kanak-kanak.
Meta bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tuduhan yang dikemukakan dan yakin bukti sepanjang perbicaraan akan menunjukkan komitmen berterusan Meta dalam menyediakan pengalaman yang lebih selamat untuk pengguna muda.
Perbicaraan yang dijangka berlangsung antara enam hingga lapan minggu itu juga akan menampilkan keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, selain beberapa individu lain yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan platform syarikat berkenaan.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas kerana berpotensi memberi kesan besar terhadap cara syarikat media sosial beroperasi, khususnya berkaitan perlindungan kanak-kanak, penggunaan data peribadi dan tanggungjawab platform digital terhadap kesejahteraan pengguna muda.
Sekiranya mahkamah memutuskan memihak kepada pihak plaintif, Meta bukan sahaja berdepan tuntutan kewangan yang besar, malah mungkin perlu melakukan perubahan terhadap reka bentuk serta ciri-ciri utama platformnya bagi meningkatkan perlindungan terhadap pengguna bawah umur.