MANILA: Meta pada Khamis secara rasmi melancarkan ciri keselamatan yang dipertingkat untuk golongan bawah umur di platform media sosialnya serta mengadakan program literasi digital Screen Smart bagi membantu mendidik orang ramai mengenai ciri berkenaan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pada majlis pelancaran di Fairmont Makati, Ketua Dasar Keselamatan Meta Asia Pasifik Malina Enlund berkata ciri yang dipertingkat itu merupakan sumbangan konkrit di peringkat platform bagi menyokong agenda keselamatan digital Filipina.
“Inisiatif ini bertindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat daripada keluarga, pendidik dan pembuat dasar terhadap pendekatan praktikal bagi melindungi golongan muda dalam talian,” katanya.
Antara ciri keselamatan itu ialah Akaun Remaja Instagram yang dikemas kini, yang mengehadkan kandungan yang boleh dilihat dan diakses oleh pengguna berusia 13 tahun ke atas.
“Tetapan yang dipertingkat ini dibangunkan berasaskan perlindungan sedia ada dalam Akaun Remaja, yang diaktifkan secara automatik sebagai tetapan lalai bagi pengguna berusia 13 hingga 17 tahun. Ibu bapa pula menentukan sama ada remaja berusia bawah 16 tahun boleh mengubah sebarang tetapan kepada tahap yang kurang ketat,” katanya.
Secara khusus, remaja perlu menerima pengikut baharu terlebih dahulu sebelum kandungan mereka boleh dilihat. Hanya mesej daripada individu yang mereka ikuti atau mempunyai hubungan dengan mereka akan dibenarkan, dan mereka hanya boleh ditanda atau disebut oleh individu yang mereka ikuti.
Selain itu, ibu bapa boleh menetapkan had masa penggunaan aplikasi setiap hari, manakala ciri baharu “mod tidur” akan menyenyapkan semua notifikasi pada waktu malam serta menghantar balasan automatik kepada mesej langsung.
-- BERNAMA-PNA