KUALA LUMPUR: Meta sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan Facebook dan Instagram kepada penggunanya pada masa ini.

Pengarah Komunikasi Meta, Andy Stone berkata, syarikat itu menyedari masalah yang dihadapi oleh pengguna dalam mengakses perkhidmatannya.

"...kami sedang mengusahakan perkara ini sekarang," katanya di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Pengguna di seluruh dunia mengalami gangguan platform media sosial, Facebook dan Instagram, termasuk Threads, malam tadi.

Menurut Amanz.my, sebuah media tempatan yang berkaitan dengan teknologi, masalah teknikal itu telah menjejaskan sebilangan besar pengguna Facebook dan Instagram di seluruh dunia manakala sesetengahnya telah beralih dengan cepat kepada platform media sosial alternatif seperti X. - BERNAMA