MARK Zuckerberg pada suatu ketika dahulu agak kecewa apabila lambat dalam arena peranti mudah-alih, sekali gus membuatkan mereka tertinggal di belakang Apple dan Google dalam menguasai pasaran berkenaan.

Sejak daripada itu, Mark Zuckerberg melihat ke hadapan, dan merancang untuk menguasai platform seterusnya.

Kini, nampaknya Meta mula mengorak langkah bukan sahaja melalui penawaran model bahasa raya LLaMa, tetapi kini turut menambah satu lagi penawaran secara terbuka kepada pengeluar lain, iaitu Horizon OS yang menguasakan set realiti maya, Meta Quest.

Dengan langkah ini, ia sekali gus membolehkan pengeluar pihak ketiga untuk menggunakan sistem operasi yang dibangunkan oleh Meta dalam membangunkan set kepala masing-masing, termasuk menggunakan ciri seperti gestur dan juga fungsi lain.

Ini sekali gus menjadikan Horizon OS akan menerajui arena set realiti maya, lebih kurang seperti Android yang menguasakan telefon pintar.

Meta menyatakan antara syarikat yang akan menghasilkan peranti menggunakan platform berkenaan adalah Asus, Lenovo dan juga Xbox. -Amanz