Pertubuhan wartawan bebas di New York menggesa kumpulan pemisah di timur Ukraine supaya berhenti mengancam dan menghalang wartawan daripada membuat liputan mengenai nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang terhempas di kawasan yang mereka kuasai.

Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) berkata sejak Jumaat lepas, pemberontak bersenjata itu telah menahan dan mengancam sekurang-kurangnya 10 orang wartawan.

"Ini adalah satu tragedi antarabangsa yang media dari seluruh dunia ada hak untuk buat liputan," penyelaras program CPJ untuk Eropah dan Asia Tengah, Nina Ognianova dalam satu kenyataan dari New York.

"Kami menggesa mereka yang mengawal operasi pasca nahas membenarkan media membuat kerja tanpa diganggu."

Kumpulan bersenjata itu adalah pemberontak yang menyertai gerakan pemisahan daripada Ukraine. Kumpulan itu dipimpin oleh Alexander Bodorai yang menamakan dirinya sebagai perdana menteri wilayah yang mereka panggill Republik Rakyat Donetsk.

Antara mereka yang ditahan termasuk wartawan BBC, akhbar Dagens Nyheter dari Sweden, laman web The Daily Beast dari Amerika Syarikat, majalah Time; stesen televisyen Belanda, Nieuwsuur serta Russia Today yang dimiliki oleh Kremlin.

Memetik laporan pelbagai sumber, CPJ mengatakan semua wartawan itu dibebaskan selepas beberapa jam ditahan.

Kumpulan wartawan itu ke Donetsk untuk membuat liputan di lokasi nahas. Mereka bagaimanapun dihalang oleh tentera pemisah daripada menghampiri tempat mayat-mayat mangsa nahas itu disimpan.

Menurut Anna Nemtsova, seorang daripada wartawan yang ditahan, mereka sebaliknya dibawa ke bangunan agensi keselamatan Ukraine yang dikawal oleh puak pemisah. Nemtsova menulis pengalamannya itu dalam The Daily Beast.

Sesetengah wartawan merakamkan pengalaman mereka di Twitter.





Wartawan Belanda, Rudy Bouma pula diancam tembak.


Sementara itu, wartawan Ukraine di Kiev memberitahu CPJ bahawa mereka lebih sukar mendapat akses ke kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah berbanding akses yang diberikan kepada wartawan asing.

CPJ memantau kebebasan media di zon konflik itu. Sejak keganasan meletus pada Februari lepas yang membawa kepada pennggulingan bekas presiden Viktor Yanukovych, CPJ mencatatkan ada sekurang-kurangnya enam wartawan atau petugas media dibunuh di Ukraine. Sejumlah yang lain termasuk wartawan asing ditahan dan diserang.

Kumpulan pemisah itu pada Isnin mengumumkan gencatan senjata di kawasan 40 kilometer radius dari kawasan pesawat penerbangan MH17 itu jatuh dipercayai ditembak dengan misil.

Sejumlah 280 mayat mangsa nahas serta 67 bungkusan cebisan tubuh mangsa tiba dengan keretapi ke Kharkiv untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Netherlands untuk proses pengecaman identiti di Amsterdam.

Majlis Keselamatan PBB pada Isnin menggesa kumpulan pemberontak itu memberi kerjasama kepada proses siasatan yang akan dijalankan oleh pakar-pakar antarabangsa.