NEW YORK: Bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet, mengumumkan penarikan diri daripada persaingan bagi jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menamatkan usahanya untuk menjadi wanita pertama menerajui organisasi itu.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu mesej video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada Sabtu, selepas beberapa minggu spekulasi mengenai kedudukan pencalonannya dalam kalangan diplomat.
Bachelet, 74, berkata beliau tidak menyesal menyertai pemilihan itu, namun mengakui keadaan geopolitik semasa serta proses pemilihan yang berlangsung tidak memihak kepada pendekatan dan prinsip yang dibawanya.
Penarikan diri itu dibuat selepas undian tidak rasmi (straw poll) ketiga Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat menunjukkan beliau hanya memperoleh satu undi sokongan, 11 undi bantahan dan tiga undi berkecuali.
Keputusan itu menyaksikan bekas Naib Presiden Costa Rica, Rebeca Grynspan, mendahului persaingan dengan sembilan undi sokongan, manakala Duta Guyana ke PBB, Carolyn Rodrigues-Birkett, berada di kedudukan kedua dengan lapan undi sokongan.
Calon lain yang masih meneruskan saingan ialah Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dari Argentina; bekas Presiden Senegal, Macky Sall; diplomat Uganda, Olara Otunnu; serta dua calon Ecuador, Maria Fernanda Espinosa dan Ivonne A-Baki.
Mengikut peraturan pemilihan, seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi sokongan daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB serta tidak menerima veto daripada mana-mana lima anggota tetap, iaitu Amerika Syarikat, Britain, China, Perancis dan Rusia, sebelum namanya dikemukakan kepada Perhimpunan Agung PBB.
Bachelet dicalonkan secara rasmi pada 2 Feb lalu di bawah giliran wilayah Amerika Latin dengan sokongan awal Brazil dan Mexico.
Bagaimanapun, kempen beliau terjejas selepas kerajaan Chile pimpinan Presiden Jose Antonio Kast menarik balik sokongan domestik pada Mac.
Pengganti Antonio Guterres, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Dis ini, akan memikul tanggungjawab memimpin PBB ketika organisasi itu berdepan cabaran kewangan serta desakan reformasi terhadap sistem keselamatan antarabangsa.