DHAKA: Mirza Fakhrul Islam Alamgir mengangkat sumpah sebagai Presiden Bangladesh ke-23 pada Jumaat, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Upacara mengangkat sumpah itu berlangsung di Darbar Hall, Bangabhaban pada 7.30 malam (waktu tempatan).
Pemangku Speaker Barrister Kayser Kamal menyempurnakan upacara mengangkat sumpah berkenaan.
Sejurus tiba di Bangabhaban, bakal presiden itu dialu-alukan oleh pegawai-pegawai kanan sebelum disambut oleh Pemangku Presiden Hafiz Uddin Ahmad Bir Bikram.
Perdana Menteri Tarique Rahman, Ketua Hakim Negara, ahli-ahli Kabinet, diplomat asing, ahli parlimen serta pegawai kanan awam dan tentera menghadiri upacara berkenaan.
Susulan upacara mengangkat sumpah itu, Presiden dan Pemangku Presiden yang tamat perkhidmatan bertukar tempat duduk, menyimbolkan penyerahan jawatan secara rasmi.
Mirza Fakhrul kemudian menandatangani sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia sebelum majlis diakhiri dengan lagu kebangsaan.
Ahli Parlimen memilih Fakhrul, seorang daripada pemimpin politik paling senior di negara itu yang juga bekas Setiausaha Agung BNP, sebagai Presiden ke-23 mengikut Perlembagaan Bangladesh.
-- BERNAMA-BSS