KUALA LUMPUR: Kuasa-kuasa besar dunia hari ini tidak lagi meluaskan kekuasaan dengan operasi ketenteraan besar-besaran, tetapi lebih kepada perang proksi.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif ISIS Malaysia, Herizal Hazri, kuasa-kuasa besar akan cuba meletakkan pengaruh mereka di dalam kerajaan di negara-negara yang mempunyai kepentingan buat mereka.

Itu yang berlaku sejak beberapa dekad ini, apabila peperangan di negara-negara lain pasti ada melibatkan Amerika Syarikat dengan Rusia secara langsung mahupun tidak langsung.

“Amerika dan sekutunya juga sering memasang kerajaan yang pro mereka, kalau tidak mereka tidak akan mengiktiraf sesebuah kerajaan itu.

“Kita lihat sahaja di Palestin apabila pilihan raya dimenangi oleh pihak yang tidak pro-Amerika, mereka tidak akan menerima keputusan itu,” katanya.

Berhubung krisis di Ukraine ketika ini, Herizal berkata, Presiden Rusia Vladimir Putin telah menegaskan, beliau tidak berminat untuk menakluk negara itu.

Tetapi, katanya, tindakannya adalah untuk menyingkirkan pengaruh Barat dan memastikan Ukraine memihak kepada mereka.

Ini kerana, jelas Herizal, Ukraine mempunyai sumber gas asli yang besar dan sudah pasti menjadi kedua-dua kuasa besar berebut untuk meletakkan pengaruh mereka atas alasan masing-masing.

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Luqman Hariz, di sini:

Model pertembungan kuasa besar bukan lagi ketenteraan, tapi kerajaan proksi - Penganalisis

Agenda AWANI: Krisis Rusia-Ukraine | Impak Geopolitik, Ekonomi