ASTANA: Moderna memulakan ujian klinikal Fasa 1 bagi vaksin eksperimen mRNA-1469 yang disasarkan terhadap Bundibugyo ebolavirus (BDBV), antara virus yang menyebabkan penyakit Ebola, lapor Agensi Berita Qazinform.
Menurut syarikat itu, ujian Fasa 1 berkenaan dijalankan di tiga lokasi di Kanada bagi menilai keselamatan, toleransi serta tindak balas imun terhadap mRNA-1469 melibatkan kira-kira 80 sukarelawan dewasa yang sihat.
Calon vaksin itu dibangunkan berasaskan platform teknologi mRNA milik Moderna dan merupakan kesinambungan penyelidikan syarikat itu terhadap filovirus, iaitu keluarga virus yang merangkumi Ebola.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel berkata pemberian vaksin kepada peserta pertama merupakan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan vaksin terhadap Bundibugyo ebolavirus.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) Health Canada para penyelidik dan sukarelawan kajian atas sokongan mereka terhadap program itu.
Ujian berkenaan adalah sebahagian daripada kerjasama yang diperluaskan dengan CEPI, yang telah memperuntukkan sehingga US$50 juta bagi menyokong ujian praklinikal dan kajian Fasa 1, selain pengeluaran dos tambahan untuk ujian klinikal.
Kedua-dua pihak menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan ujian Fasa 2 dan Fasa 3 yang lebih besar sekiranya keputusan Fasa 1 menyokong pembangunan lanjut vaksin berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif CEPI Dr Richard Hatchett berkata permulaan pantas ujian klinikal itu merupakan satu langkah penting dalam menangani wabak Ebola yang sedang berlaku, yang disifatkannya sebagai wabak kedua terbesar dalam sejarah dan merebak lebih pantas berbanding wabak di Afrika Barat pada 2014 hingga 2016.
Bundibugyo ebolavirus ialah antara virus yang menyebabkan penyakit Ebola dan bertanggungjawab terhadap wabak semasa di Republik Demokratik Congo (DRC). Walaupun vaksin bagi Zaire ebolavirus tersedia, masih belum ada vaksin yang diluluskan untuk BDBV.
Menurut Moderna, wabak itu mengakibatkan lebih 3,000 kes disahkan dan melebihi 1,400 kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Antarabangsa (PHEIC), manakala Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) mengisytiharkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Keselamatan Benua.
Sekiranya vaksin itu akhirnya mendapat kelulusan, Moderna berkata pihaknya merancang untuk menyediakan akses segera kepada negara yang terjejas dan komited membekalkan sekurang-kurangnya 500,000 dos kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana pada harga akses di bawah perjanjian dengan CEPI.
Sebelum ini, Agensi Berita Qazinform melaporkan WHO menambah ujian diagnostik molekul pertama bagi virus Bundibugyo (BDBV) ke dalam Senarai Penggunaan Kecemasan dan melancarkan ujian klinikal untuk menilai rawatan pertama berpotensi bagi penyakit itu.
-- BERNAMA-QAZINFORM