Skip to main content
Advertisement

Malaysia

USM lonjak ke kelompok 350 universiti terbaik dunia

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hingga tahun 2027.
Universiti Sains Malaysia (USM) melonjak ke kelompok 350 universiti terbaik dunia apabila menduduki tangga 326 hingga 350 dalam penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings  (WUR) 2027.
Advertisement

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) melonjak ke kelompok 350 universiti terbaik dunia apabila menduduki tangga 326 hingga 350 dalam penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings  (WUR) 2027.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu meletakkan universiti berkenaan dalam kelompok 15 peratus teratas daripada 2,297 universiti yang disenaraikan dalam edisi terbaharu ranking berkenaan.

“Kedudukan ini meneruskan kemajuan USM di persada antarabangsa selepas berada dalam kelompok 601-800 pada 2020 hingga 2023 dan kelompok 401-500 pada 2024 hingga 2026.

“Pencapaian ini memperlihatkan kemajuan sebuah universiti penyelidikan Malaysia dalam persaingan global, dengan peningkatan skor dalam kesemua lima komponen penilaian THE,”menurut kenyataan itu.

USM memaklumkan pengantarabangsaan kekal sebagai kekuatan paling menonjol universiti itu apabila mencatat skor 80.4 berbanding 76.5 pada edisi sebelumnya, mencerminkan dimensi antarabangsa menerusi pelajar dan staf serta penyelidikan bersama rakan akademik merentas negara.

Hubungan dengan industri turut mencatat peningkatan ketara apabila skor komponen Industri melonjak 10.6 mata kepada 75.1, peningkatan terbesar dalam kalangan lima komponen penilaian.

Menurut USM pencapaian itu memperkukuh kedudukan pemindahan ilmu sebagai antara kekuatannya dalam menghubungkan hasil penyelidikan dengan inovasi dan pembangunan teknologi.

Sementara itu, komponen kualiti penyelidikan mencatat skor 66.2, manakala peningkatan turut direkodkan dalam komponen pengajaran dan persekitaran penyelidikan yang mencerminkan kemajuan dalam persekitaran pembelajaran serta kapasiti penyelidikan universiti.

USM memaklumkan pengiktirafan itu datang bersama tanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan akademik memberi manfaat kepada masyarakat, dengan tumpuan kekal kepada pendidikan yang membangunkan bakat serta penyelidikan bagi membantu menangani cabaran negara dan dunia.

Universiti itu turut merakamkan penghargaan kepada warga akademik, penyelidik, staf dan pelajar serta rakan kerjasama industri dan komuniti yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

– BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement