PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.
Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelantikan itu antara keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Beliau berkata pelantikan individu dari luar Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi menerajui jawatankuasa tertentu dibuat berdasarkan kredibiliti dan pengalaman dalam bidang berkaitan, sekali gus memperkukuh tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
“Bagi Jawatankuasa Integriti, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Kita mahu mereka yang mempunyai kredibiliti untuk mentadbir jawatankuasa berkenaan dan memastikan pengurusan serta tadbir urus FAM dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM bagi memastikan setiap aspek pengurusan serta pembangunan bola sepak negara dapat digerakkan dengan berkesan.
Ab Ghani berkata selain Jawatankuasa Integriti, FAM turut memilih individu berpengalaman dari luar Exco untuk menerajui Jawatankuasa Pengadil serta Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan.
Bagi Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai pengerusi, manakala DCP Datuk Mohd Rozi Jidin sebagai timbalannya.
Datuk N. Saaran pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan.
Datuk Seri Rosmadi Ismail pula mengetuai Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan.
Ab Ghani berkata semua pengerusi jawatankuasa tetap berkenaan diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk menamakan anggota masing-masing bagi membolehkan tugas di peringkat jawatankuasa dimulakan.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM, manakala Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari FAM.
Menurutnya, kontrak Noor Azman masih berkuat kuasa sehingga hujung tahun depan, manakala pelantikan Ismail disambung bagi baki penggal kepimpinan FAM.
-- BERNAMA