NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menggesa usaha untuk menempa laluan baharu ke arah dunia yang bebas daripada senjata nuklear, lapor Xinhua.
Pelucutan senjata nuklear bukanlah satu kebajikan, ia adalah kewajipan undang-undang yang mengikat di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, katanya pada mesyuarat peringkat tinggi sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Menyeluruh Senjata Nuklear.
“Ketika kita meraikan hari yang penting ini, sudah tiba masanya untuk menempa laluan baharu,” katanya.
Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Menyeluruh Senjata Nuklear disambut setiap tahun pada 26 Sept.
Negara yang memiliki senjata nuklear mesti kembali berdialog untuk menghalang sebarang penggunaan senjata itu.
Mengekalkan kadar pengurangan senjata global selama beberapa dekad adalah penting untuk mengelakkan perlumbaan senjata nuklear yang lain.
Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mesti berunding mengenai rangka kerja pengganti kepada Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu yang telah tamat tempoh.
Semua negara senjata nuklear perlu mengurangkan peranan senjata nuklear dalam dasar keselamatan mereka, kata Setiausaha Agung PBB itu.
“Alat yang membawa maut ini tidak boleh sama sekali menentukan nasib manusia. Dunia yang berpecah-belah tidak boleh menjadi alasan untuk tidak bertindak. Kita tahu bahaya itu dan kita tahu akibatnya. Kita tahu bahawa kita perlu melakukan segala-galanya untuk mengubah haluan, menggantikan ancaman dengan dialog, menggantikan perlumbaan senjata dengan kawalan senjata, menggantikan kelumpuhan dengan tindakan konkrit," kata Guterres.
"Senjata nuklear sedang diperluas dan dimodenkan. Bunyi gertakan senjata nuklear semakin kuat kedengaran. "Kemajuan dalam teknologi meningkatkan kemungkinan kesilapan dan salah perhitungan. Dan apabila ia amat diperlukan, perlindungan yang dibina selama beberapa dekad untuk membendung bahaya ini semakin runtuh,” katanya.
"Umat manusia telah hidup di bawah bayangan nuklear selama lebih lapan dekad. Kita mesti memastikan bahawa generasi akan datang tidak (lagi hidup sebegitu). Marilah kita memilih masa depan yang bebas daripada senjata nuklear," kata Guterres.
-- BERNAMA-XINHUA