Skip to main content
Advertisement

Malaysia

BNM kenakan penalti berjumlah RM40,400 ke atas tiga syarikat

BNM
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) masing-masing sebanyak RM22,000 terhadap Wawasan Ilham (M) Sdn Bhd (WISB) dan RM6,900 ke atas SMJ Teratai Sdn Bhd berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (CDD). - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) masing-masing sebanyak RM22,000 terhadap Wawasan Ilham (M) Sdn Bhd (WISB) dan RM6,900 ke atas SMJ Teratai Sdn Bhd berikutan kegagalan mematuhi keperluan berkaitan usaha wajar pelanggan (CDD).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu memaklumkan pihaknya telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan yang dijalankan terhadap SMJ Teratai.

“Semasa pemeriksaan itu, BNM mendapati SMJ Teratai gagal melaksanakan CDD terhadap seorang pelanggan berhubung beberapa transaksi pertukaran wang berikutan kurang mengambil langkah berhati-hati secara munasabah dalam pelaksanaan keperluan CDD oleh kakitangannya,” maklum BNM.

Dalam pada itu, bank pusat itu turut mengenakan tindakan AMP berjumlah RM11,500 terhadap Ruhanmas Forex Sdn Bhd berikutan kegagalan mematuhi keperluan sekatan kewangan bersasar.

BNM telah mengesan ketidakpatuhan ini susulan pemeriksaan penyeliaan di premis Ruhanmas.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, Ruhanmas didapati gagal menyenggara mekanisme saringan sekatan dan tidak melaksanakan saringan itu terhadap pelanggannya.

“Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman Ruhanmas terhadap keperluan pengawalseliaan yang berkaitan,” menurut bank pusat itu.

Kesemua syarikat terbabit telah membayar penalti berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement