NEW DELHI: Golongan aktivis di India sedang mencabar kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi susulan penggunaan teknologi pengawasan berasaskan kecerdasan buatan (AI) ketika protes belia terbesar negara itu dalam beberapa dekad, dengan satu kes mahkamah dijangka menjadi penanda aras terhadap kuasa kerajaan persekutuan walaupun demonstrasi tersebut telah berakhir.
Kontroversi mengenai pengawasan itu tercetus ketika protes pelajar minggu lalu berhubung kebocoran kertas peperiksaan, apabila para penunjuk perasaan memuat naik gambar sebuah van pengawasan polis yang dilengkapi kamera pada tiang teleskopik yang mampu memberikan pandangan 360 darjah ke arah kawasan himpunan.
Seorang peserta protes dan aktivis pelajar, Aishe Ghosh memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Delhi bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pengawasan besar-besaran terhadap penunjuk perasaan adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
Beliau turut memohon supaya semua data peribadi yang dikumpulkan sepanjang demonstrasi dimusnahkan serta garis panduan penggunaan teknologi pengawasan diwujudkan.
Ghosh meneruskan tindakan undang-undang itu meskipun protes tersebut berakhir selepas Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan dalam sesuatu yang dianggap sebagai tamparan jarang berlaku kepada Modi.
Susulan itu, kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah panel bagi merombak sistem peperiksaan yang sering terpalit dengan isu penipuan.
India ketika ini tidak mempunyai undang-undang khusus yang mengawal penggunaan teknologi pengecaman wajah oleh polis, manakala aktivis mendakwa, pengawasan di lokasi utama protes di New Delhi melanggar undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan, langkah pemantauan tersebut adalah sah dan dilaksanakan demi kepentingan awam untuk mengekalkan ketenteraman serta keselamatan.
Kerajaan Modi sebelum ini sering dituduh parti pembangkang dan kumpulan pejuang hak digital kerana memperluaskan kuasa pengawasan serta mengawal komunikasi digital secara ketat.
Namun, kerajaan menolak dakwaan itu dan menegaskan, setiap tindakan dibuat demi kepentingan negara.
Semasa prosiding pada Jumaat lalu, Peguam Negara, Tushar Mehta mempertahankan tindakan polis India dengan menyifatkan dakwaan pelanggaran privasi dalam perhimpunan awam sebagai sesuatu yang "ironik."
Menurutnya, langkah pengawasan itu adalah "sangat diperlukan" dan dibuat demi kepentingan sah negara.
Dalam prosiding ringkas pada Isnin (27 Julai), panel hakim mendengar hujah daripada Ghosh yang mendakwa pengawasan besar-besaran terhadap peserta protes merupakan tindakan berlebihan dan tidak seimbang.
Beliau turut menuntut pendedahan lebih menyeluruh mengenai dasar pengawasan kerajaan ketika perhimpunan awam.
Mahkamah dijadualkan menyambung perbicaraan kes itu pada Selasa.
Tuntutan terhadap akauntabiliti
Internet Freedom Foundation, sebuah kumpulan advokasi digital yang berpangkalan di New Delhi, menghantar surat kepada Pesuruhjaya Polis Delhi pada 24 Julai lalu bagi menuntut semua data biometrik yang dikumpulkan di lokasi protes dipadamkan.
Polis Delhi tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Namun, menerusi satu hantaran di platform media sosial X pada Ahad, pasukan itu menegaskan, mereka tidak pernah "menyekat kebebasan mana-mana individu melalui penggunaan teknologi pengecaman wajah."
"Kita memerlukan prinsip perkadaran walaupun atas alasan risiko keselamatan negara. Akauntabiliti perlu wujud di kedua-dua pihak," kata rakan kongsi undang-undang teknologi firma guaman Panag & Babu, Akash Karmakar.
Beliau berkata, sekiranya teknologi pengecaman wajah digunakan untuk menjejaki penunjuk perasaan, maka teknologi yang sama juga sepatutnya digunakan bagi mengenal pasti anggota polis yang didakwa bertindak tanpa memakai lencana nama ketika operasi menyuraikan protes.
Reuters turut melaporkan polis dilihat mencatat nama pengguna Instagram peserta yang tiba di lokasi himpunan.
Seorang pegawai polis, Inspektor Sunil Kumar berkata, tindakan itu bertujuan memastikan individu yang mempunyai rekod jenayah tidak menyertai protes berkenaan. - Agensi