Skip to main content

Dunia

Mogok besar bantah reformasi buruh lumpuhkan ibu kota Argentina

A drone picture shows demonstrators taking part in a protest outside Argentina's National Congress on the day lawmakers discuss labor reforms proposed by President Javier Milei's libertarian government to attract investment and revive growth, which unions say would roll back workers' rights, in Buenos Aires, Argentina February 19, 2026. REUTERS/Alessia Maccioni
Gambar dron menunjukkan para penunjuk perasaan berhimpun dalam satu protes di luar Kongres Nasional Argentina. - Foto REUTERS

BUENOS AIRES: Satu mogok umum selama 24 jam telah melumpuhkan sebahagian besar bandar raya Buenos Aires pada Khamis, apabila perniagaan ditutup dan ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalanan bagi membantah rancangan reformasi buruh yang dicadangkan Presiden Javier Milei.

Mogok itu merupakan yang keempat sejak Milei memegang jawatan pada 2023, sementara mogok lebih kecil berlaku secara berterusan sepanjang pentadbirannya.

Advertisement

Akibat tindakan tersebut, perkhidmatan kereta api bawah tanah dihentikan, operasi bas berkurangan, dan syarikat penerbangan negara Aerolineas Argentinas menjangkakan pembatalan 255 penerbangan yang membawa kerugian sekitar AS$300 juta.

Bank dan sekolah juga ditutup sebagai tanda solidariti.

Kesatuan terbesar di negara itu, General Confederation of Labor (CGT), menyeru rakyat supaya “menunjukkan penolakan di jalanan, di Kongres, di mahkamah dan di setiap tempat kerja”, sambil menegaskan bahawa “hak pekerja bukan untuk dirundingkan”.

Mogok umum ini berlangsung serentak dengan perbahasan reformasi buruh di Dewan Deputi.

Reformasi yang dicadangkan oleh parti Milei, La Libertad Avanza, termasuk memudahkan majikan memberhentikan pekerja, mengurangkan bayaran pampasan, melanjutkan waktu kerja daripada lapan jam kepada 12 jam, serta mengehadkan hak untuk mogok melalui peluasan definisi “perkhidmatan penting”.

Pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai satu ancaman besar kepada hak pekerja dan kualiti hidup rakyat Argentina.

Pentadbiran Milei berhujah bahawa langkah tersebut perlu untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan “kekangan buruh” yang dianggap membebankan.

Ekonomi Argentina telah lama bergelut, dan ketika Milei dipilih, kadar inflasi melebihi 200 peratus.

Milei mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang turut menyokong pembaharuan ekonomi radikal presiden Argentina itu.

Perkara tersebut menambahkan dimensi politik antarabangsa dalam perdebatan dasar domestik Argentina.

Reformasi buruh itu dijangka berdepan tentangan hebat di Dewan Deputi, namun penganalisis meramalkan ia masih berpeluang diluluskan.

Sebelum ini versi awal rang undang-undang tersebut telah lulus di Senat, dan sebarang pindaan baharu akan memerlukannya kembali ke Senat bagi undian akhir.

CGT, dalam kenyataan selepas mogok selesai, berkata tindakan itu telah menyampaikan mesej jelas kepada para penggubal undang-undang: rakyat menolak usaha melonggarkan perlindungan pekerja.

“Terdapat penolakan meluas terhadap undang-undang fleksibiliti buruh yang dianggap regresif dan memudaratkan kelas pekerja Argentina,” tegasnya. 
 

Must Watch Video